Posted by
ferouxe on Thursday 26 February 2009
Kita sering melihat ramai ahli perniagaan, “profesional” dalam menjalankan urusniaga mereka. Bagaimana kita ingin menjadi profesional dalam kerjaya kita menguruskan hal ehwal perniagaan? Profesional ini bukanlah kerjaya profesional seperti akauntan, doktor ataupun peguam. Antara ciri profesional yang boleh ditunjukkan dalam perniagaan ialah kita tidak mencampur gaulkan urusan peribadi dengan urusan perniagaan itu sendiri.
Memang agak tertekan jika kita mengalami masalah peribadi dan selalunya terbawa ke pejabat. Ini akan menyukarkan pergerakan syarikat itu sendiri jika cerita 1001 masalah peribadi dibawa ke meja ahli pengarah. Gunakan masa yang sesuai dan lokasi yang sesuai untuk mencari jalan penyelesaian peribadi anda dengan cara yang terbaik.
Selain daripada itu juga cara melakukan kerja, perbincangan operasi, mesyuarat yang dijalankan antara jantina lelaki dengan wanita perlu dijalankan dengan adil. Tidak kira pemilik syarikat itu adalah seorang lelaki ataupun seorang wanita. Kedua-dua jantina yang mewakili pekerja / pihak pengurusan perlu diberi perhatian. Mereka berhak diberi kebebasan bersuara dalam menyuarakan sesuatu pandangan.
Sering juga berlaku dalam sessi mesyuarat jika majoriti adalah kaum lelaki, perbincangan banyak menggunakan kata-kata yang berunsurkan agak lucah / mengguriskan perasaan hati wanita yang boleh menimbulkan perasaan kurang senang sesuatu pihak. Gejala ini perlu dielakkan kerana memang nampak tidak profesioanal jika kelakuan ini berlaku dalam sesebuah syarikat. Bincangkan perkara dengan serius dan jangan jadikan meja mesyuarat sebagai tempat gelak ketawa perkara yang tidak berfaedah.
Posted by
ferouxe on Wednesday 25 February 2009
Memilih makanan dalam sajian harian amat mustahak kerana ia antara sebab yang akan menentukan tahap kesihatan kita selepas umur meningkat. Tabiat pemilihan makanan yang mengandungi banyak kolesterol dan berlemak, sedikit sebanyak akan menjejaskan kesihatan jika tidak dikawal seawal mungkin. Memang diakui makanan berlemak, kolesterol, manis adalah sedap di lidah kita. Namun kita tidak boleh memakannya dengan kuantiti yang banyak.
Makanan yang mengandungi serat seperti bijirin, buah-buahan dan sayuran sangat bagus untuk diri kita kerana ia mempunyai zat yang baik untuk kesihatan, melawaskan najis dan antara ejen yang menyerapkan kolestrol dalam badan. Oleh yang demikian adalah lebih baik kita makan setiap hari. Kesihatan adalah aset utama yang akan memberikan kekuatan seorang usahawan untuk terus bekerja. Jadi, berhati-hati semasa memilih makanan dalam diet anda.
Menjaga kesihatan adalah salah satu tips dalam Ebook Panduan Minda Usahawan cemerlang. Dapatkan Ebook ini dengan percuma dengan mendaftar di ruangan newsletter. Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca yang sudi membaca Ebook terbaru ini. Penulis dalam proses menyiapkan Ebook berkaitan keusahawanan dan inshaallah akan dilancarkan dalam tahun ini.
Posted by
ferouxe on Tuesday 24 February 2009
Menjadi usahawan tidak boleh lari daripada kerja menjual. Ramai individu ingin menjadi usahawan tetapi masih lagi ada juga individu yang masih takut-takut ataupun terus menyerah kalah apabila diminta membuat jualan. Penggerak syarikat adalah penjual dan ketika memulakan syarikat dia perlu menjual sehingga menjadi peneraju syarikat dia tetap akan terus menjual, tetapi ketika ini dia menjual pada peringkat yang lebih tinggi dan segmen yang berlainan.
Perkara asas dalam proses jualan adalah membuat satu komunikasi kepada bakal pelanggan untuk meyakinkan dia membeli produk ataupun perkhidmatan kita. Kenapa wujud perasaan TAKUT untuk memulakan jualan..? Ada yang takut kerana meyakinkan orang memerlukan satu tenaga yang maha dahsyat seperti kuasa guruh disaat hujan tiba. Bagi yang ingin bermula untuk menjual letakkan dalam minda bahawa ini adalalah proses yang mudah sahaja.
Berikut adalah antara sebab kenapa seseorang itu gementar ketika ingin memulakan aktiviti jualan :
1.Tidak pernah melakukan aktiviti jualan langsung. Dia hanya tahu membeli dan tidak selesa berada dalam kedudukan posisi sorang penjual.
2.Tiada persediaan sebelum melakukan proses ini. Tidak memahami produk yang ingin ditawarkan.
3.Rendah diri / tidak yakin kepada diri sendiri. Tidak percaya dengan kebolehan diri sendiri. Semua antara kita mempunyai kebolehan menjual tetapi kita tidak mencungkil kebolehan itu untuk diaplikasikan dalam kehidupan.
4.Malu dengan pekerjaan ini. Masih memandang rendah orang yang menjual hanyalah golongan kelasan bawahan. Terutamanya sebelum ini dia pernah bekerja di syarikat terkenal dan malu jika masyarakat memandang hina jika dia menjual sesuatu produk.
5.Berfikiran negatif. Dia takut dipandang sebagai peminta sedekah apabila terlibat dalam jualan. Kita bukan meminta wang, tetapi kita menawarkan produk dan perkhidmatan bagi menyempurnakan kehidupan pelanggan.
Posted by
ferouxe on Monday 23 February 2009
Manusia mempunyai tahap kemahiran yang berbeza. Oleh yang demikian, tidak hairan ada individu yang bukan tergolong daripada kebanyakan pekerja lain. Mempunyai habit yang tersendiri, susah untuk diajar, tidak matang dalam pekerjaan, sering menyalahkan orang lain dan berbagai-bagai kerenah yang bagi kebanyakan kita tidak tahan dengan sikap ini.
Niat untuk menjadikan individu ini untuk lebih berjaya menjadikan tunjang untuk kita bertahan dengan sikap individu daripada golongan ini. Walaupun secara zahir, kita tidak mendapat keuntungan bersama, hanya kesengsaraan yang dihadapi hari demi hari. Namun kesabaran melatih kelompok ini akan membuah hasil jika bermula dengan niat dalam diri kita.
Untuk menjadikan orang lain menghormati kita, perkara pertama hormati diri mereka dahulu. Jangan mengharap orang lain akan mendengar kata-kata kita, jika kita terlebih dahulu mendengarkan kata-kata mereka. Berbuat baik dengan mereka, dan bantulah sekiranya ada apa-apa yang mereka perlukan. Sedikit demi sedikit ajarkan kepada mereka perkara-perkara penting dalam operasi perniagaan. Penerangan yang lembut dan bersopan, elakkan menjatuhkan maruah mereka di hadapan khalayak ramai.
Apabila mereka menerima nasihat kita, barulah kita boleh berurusan seperti biasa. Kadangkala kita memerlukan tempoh yang lama dalam membentuk individu ini. Itu adalah kenyataan bahawa membentuk golongan ini untuk menjadi lebih baik memerlukan pengorbanan dan ketabahan menghadapi kerenah mereka. Jangan berputus asa.
Posted by
ferouxe on Saturday 21 February 2009
Menjadi pakar dalam bidang tertentu mahupun dalam bidang pernigaan bukan bakat semulajadi yang datang secara tiba-tiba. Ini bukan secara kebetulan dan untuk mencapai tahap cemerlang individu itu perlulah memerah keringat dengan melakukan latihan demi latihan setiap hari. Mengikut kajian pakar dalam bidang genius, kemampuan manusia yang telah ditunjukkan dalam mencapai kecemerlangan bidang yang mereka ceburi adalah hasil latihan melebihi 10 tahun ataupun 10,000 jam !!! Tiada jalan pintas untuk mencapai tahap ini.
Merujuk kepada contoh individu yang genius dan bagaimana mereka mencapai tahap ini boleh menjadi panduan kepada kita. Beberapa contoh yang dipetik hasil tulisan Roshan Thiran daripada Akhbar Starbizweek Sabtu 14 Februari 2009 benar-benar membuktikan teori bagaimana mencapai tahap genius bukanlah melalui jalan pintas.
- Beatles telah melakukan persembahan selama 8 jam sehari 7 hari seminggu dalam perjalanan sebelum menjadi terkenal. Kumpulan ini telah membuat lebih 1200 persembahan sebelum nama mereka menjadi sebutan seluruh dunia.
- Warren Buffet, pakar dalam pelaburan menyifatkan displin, kerja kuat dan latihan yang banyak yang menjadikan beliau mencapai tahap ini.
- David Beckham memang terkenal dengan memiliki kemahiran sepakan percuma yang tepat. Menurut Sir Alex Ferguson; beliau berlatih dengan displin untuk mencapai tahap kemahiran ini. Selepas latihan harian, beliau masih lagi tinggal di padang untuk membuat latihan 500 sepakan percuma setiap hari, kira-kira 180,000 setahun. Kelab-kelab bolasepak Eropah terkenal telah melatih bakal pemain mereka semenjak umur 4 tahun lagi. Dan tidak mungkin Everton telah menemui Wayne Rooney ketika berumur 4 tahun.
- Lagenda bolasepak negara, Mokhtar Dahari menasihatkan agar sentiasa berlatih dan terus berlatih, kerana dengan banyak latihan akan banyak nasib yang baik akan ditemui.
- Gates melepaskan zaman remaja daripada bersuka-ria bersama rakan lain, beliau hanya menumpukan seluruh masanya dihadapan komputer membuat program-program komputer.
-
Mozat mula mencipta lagi pada ketika umur 6 tahun dan menjadi pemuzik tahap profesional di peringkat antarabangsa pada ketika umur 21 tahun.
Bakat penting dalam sesuatu karier, tetapi latihan yang berterusan adalah peranan utama membezakan tahap baik dan cemerlang. Kecemerlangan hanya boleh dicapai dengan latih tubi yang konsisten dan tabah menghadapi kepayahan. Melakukan sesuatu bidang dalam masa tempoh yang masih muda (500 jam hingga 1000 jam tidak termasuk waktu tidur) belum lagi membawa kita ke peringkat kecemerlangan. Teruskan memperbaiki mutu perniagaan kerana selepas tempoh 10,000 jam pasti kita sudah sampai ke tahap genius !!!
Posted by
ferouxe on Wednesday 18 February 2009
Membaca kisah-kisah orang yang terkenal dan berjaya boleh dijadikan sumber motivasi kepada diri kita untuk lebih berjaya. Namun kisah orang yang tidak terkenal juga boleh dijadikan panduan kepada diri kita. Allah menjadikan manusia daripada pelbagai suku kaum, warna kulit, sifat yang berbeza antara satu sama lain untuk menyuruh kita mengenal antara satu sama lain. Tidak salah kita mempelajari daripada kisah kejayaan orang lain walupun kejayaan beliau bukan sebesar seperti yang kita inginkan.
Kisah ini saya petik daripada buku “The Automatic Millionaire Homeowner” tulisan David Bach, antara penulis yang telah menghasilkan buku bestsellers di Amerika. Buku ini menerangkan strategik penting dalam perancangan untuk pelaburan hartanah dengan bahasa yang mudah. Berikut adalah salah satu cerita kejayaan pelabur hartanah yang telah berjaya….
“Saya terbang ke Amerika semasa berumur 40 tahun dengan berbekalkan hanya 400 Dollar dalam poket. Nama saya Dorulet Moga. Saya berasal dari sebuah kampung kecil di Romania. Saya telah menempuhi pelbagai cabaran ke tanah baru ini. Saya tidak boleh berbahasa Inggeris dan tiada status penduduk Amerika pada masa itu.
Hidup saya berubah selepas menemui isteri yang dicintai. Selepas berkahwin saya berjaya mendapatkan “Kad Hijau” dan bekerja sebagai pengawal keselamatan. Saya juga bekerja dihujung minggu sebagai pencuci rumah untuk mendapatkan duit lebih dan mula menyimpan untuk memenuhi impian menjadi kenyataan. Impian saya mudah sahaja, untuk menyimpan duit sebagai duit muka untuk membeli rumah. Saya inginkan rumah yang cantik untuk isteri, memulakan kehidupan berkeluarga dan hidup baru.
Saya tahu Amerika adalah tempat dimana segala impian menjadi kenyataan sekiranya kita bekerja bersungguh-sungguh. Semua mendapat keadilan di bumi ini dan peluang ada dimana-mana. Saya suka Amerika.
Saya meluangkan masa Ahad untuk beberapa bulan untuk melihat pameran hartanah dan berbual dengan agent hartanah. Saya menemui rumah impian pada 22 Februari 2002. Saya belajar berbagai perkara teknikal hartanah dan merasakan seperti belajar semua terma dalam Bahasa Inggeris. Agent hartanah memaklumkan bahawa harga hartanah di Selatan California sedang hangat.
Semenjak hari itu, kami sekeluarga membesarkan 2 anak kesayangan kami di rumah itu. Kami sudah mampu membeli 2 rumah tambahan hasil kenaikan nilaian rumah pertama. Kami masih mempunyai rumah pertama dan hasil sewa rumah-rumah kami akan membayar duit hutang kami.
Setiap orang yang mengatakan adalah mustahil memiliki rumah, sepatutnya mendengar kisah hidup kami. Saya adalah contoh yang hidup di depan mata anda. Saya adalah pendatang yang datang tanpa wang dan tidak boleh berbahasa Inggeris. Saya telah buktikan dan semua orang boleh lakukan”
Posted by
ferouxe on Tuesday 17 February 2009
“Di waktu perut terasa kelaparan kerana seharian bekerja di pejabat, Rizal teringinkan untuk menikmati hidangan Nasi Goreng Kampung. Namun tiada selera untuk makan digerai, lalu beliau terus pergi ke pasaraya berhampiran untuk membeli bahan perencah, setelah sampai rumah dengan penuh semangat beliau memasak hidangan makan malam itu dan dikongsikan bersama rakan satu rumahnya.”
Daripada cerita ringkas diatas, ini adalah satu contoh bagaimana manusia mempunyai kuasa merealisasikan impian beliau. Rizal inginkan hidangan makan malam kesukaannya, dia berusaha mencapai impiannya dan berkongsikan kejayaan dengan kawan sekelilingnya. Ini adalah contoh impian kecil yang biasa kita lalui.
Berbeza dengan mimpi, kita mungkin pernah bermimpikan untuk menikmati hidangan lazat. Ataupun mengalami pengalaman indah ditempat yang ingin lawati atau dikejar hantu pocong. Namun itu adalah khayalan dan apabila bangun dari tidur kita tidak akan menikmati hidangan itu dalam dunia yang sebenar, berada ditempat yang diingin atau hantu itu sebenarnya tidak wujud disebelah anda.
Bagaimana pula impian besar yang kita inginkan? Sama sahaja, kita perlu menetapkan impian, berusaha gigih untuk mencapai impian itu dan adalah lebih baik berkongsikan kejayaan dengan orang disekeliling kita. Tangan kita mempunyai kuasa untuk menentukan impian ini menjadi kenyataan atau tidak. Impian adalah satu perkara yang boleh difikirkan dan direalisasikan dalam kacamata sebenar. Teruskan usaha gigih mencapai impian anda.
Posted by
ferouxe on Monday 16 February 2009
Penulis pernah bertemu seorang graduan universiti tempatan yang telah 2 tahun menamatkan pengajiannya. Beliau bekerja makan gaji dan ”agak” berpuas hati dengan pendapatan daripada pekerjaannya. Setelah berbual sedikit demi sedikit, saya dapati beliau tiada langsung perancangan ataupun impian yang diinginkan untuk jangka pendek mahupun jangka panjang .
Agak memeranjatkan hati penulis, masih lagi antara kita tidak serius dalam kehidupan apatah lagi mempunyai impian yang besar-besar. Tidak kira seorang usahawan ataupun bukan usahawan, kaya ataupun miskin, lelaki ataupun wanita..kita semua perlu mempunyai impian. mempunyai impian bukan memerlukan kos yang banyak. Ia hanya percuma !!!
Impian bukanlah mimpi. Mimpi datang semasa luar kesedaran kita tetapi impian hadir semasa kita sedar bukan semasa tidur. Kita boleh mengawal impian kita kerana kita dalam keadaan sedar. Tidak perlu malu jika anda mempunyai impian yang hebat, mempunyai perniagaan yang besar dan hidup senang lenang walaupun belum menjadi kenyataan.
Apabila kita sudah mempunyai impian dalam hidup, langkah seterusnya kita perlu memiliki kuasa impian…
Posted by
ferouxe on Saturday 14 February 2009
Melatih tenaga baru dalam perniagaan bukan sahaja memerlukan pengorbanan kewangan malah masa juga perlu banyak diperuntukkan dalam membentuk warga kerja yang produktif seterusnya menjadikan mereka sumber tenaga yang menjana pertumbuhan syarikat. Dalam beberapa syarikat yang terkenal, jabatan latihan diberikan tanggungjawab utama untuk melatih tenaga kerja bagi menjadikan lebih berdaya saing dalam pasaran.
Cabaran mengenali watak pekerja / rakan niaga dalam kelompok golongan kedua ialah mereka perlu ditunjukkan dengan cara amali bagaimana untuk melakukan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan. Sesetengah individu perlu ditunjukkan di hadapan mata mereka sendiri bagaimana untuk menyempurnakan tugasan harian dalam syarikat.
Adalah satu yang membebankan kepada trainer untuk menunjuk ajar pelbagai perkara, namun ini adalah hakikat yang patut dihadapi oleh semua usahawan. Jika golongan ini seorang yang berusaha bersungguh-sungguh dalam pembelajaran di syarikatnya, tidak mustahil suatu hari nanti dia akan menjadi pakar dan anda akan tersenyum lebar mengenang kepahitan dalam mengajarnya suatu ketika dahulu.
Manusia mempunyai kemahiran yang berlainan antara satu sama lain, sebagai usahawan yang ingin membentuk sebuah pasukan yang dinamik, menghadapi golongan yang lemah dalam pembelajaran di tembat bekerja perlu dihadapi dengan sabar. Tanpa kesabaran anda tidak dapat membentuk suatu organisasi ternama dalam bidang perniagaan.
Posted by
ferouxe on Thursday 12 February 2009
Penciptaan manusia adalah salah satu keajaiban yang tiada tolok bandingan. Struktur dalaman organ manusia mempunyai sistem yang unik dan dari segi aspek kejuruteraan, belum ada lagi robot yang boleh menandingi struktur badan manusia. Setiap satu angggota mempunyai fungsi yang tersendiri yang membantu dalam kehidupan manusia. Salah satu organ penting yang membantu dalam kehidupan manusia ialah otot.
Anggota badan ini membantu pergerakan manusia untuk berjalan, berlari, melompat dan bermacam pergerakan sedar atau tidak sedar. Dalam keadaan tidak sedar maklumat daripada otak boleh terus membawa ke otot menyebabkan kita boleh bertindak luar dari kemampuan kita. Sebagai contoh seorang wanita dikejar oleh seekor anjing, dan kebanyakan kes wanita itu mampu berlari laju daripada kebiasaannya dan ada ketika dia boleh melompat longkang yang mempunyai saiz besar.
Namun ada ketikanya, otot kita juga boleh memberikan impak yang luar biasa tanpa ada kejutan, ini boleh kita lihat dalam contoh kebanyakan ahli sukan. Rafael Nadal boleh bermain tenis lebih daripada 5 jam semasa peringkat separuh akhir dan boleh lagi menang semasa perlawanan akhir Terbuka Autralia lalu. David Beckham, Christiano Ronaldo, Ronaldinho dan ramai lagi bintang bolasepak boleh membuat hantaran, jaringan dan permainan yang menakjubkan. Tidak lupa juga bintang sukan lain seperti Tiger Woods, Michael Jordan, pasangan badminton lagenda negara Razif -Jalani yang mempunyai tahap permainan peringkat antarabangsa.
Kemampuan otot ahli sukan ini bukan kerana faktor terkejut seperti contoh wanita yang dikejar anjing tadi. Mereka boleh mampu mempunyai kemahiran lebih daripada manusia normal kerana latihan yang berterusan. Golongan ahli sukan ini memperuntukkan masa yang banyak untuk membiasakan otot mereka menghadapi perlawanan demi perlawanan. Oleh yang demikian hasil kesungguhan mereka melakukan latihan tanpa jemu ini, mereka mempunyai kemahiran yang lebih daripada batasan manusia biasa.