Posted by
ferouxe on Saturday 31 January 2009
“Kerja kuat. Ini bukan rahsia sebab dalam apa-apa pun kita kena kerja kuat sekiranya kita hendak berjaya. Bagi saya tidak ada jalan pintas untuk seseorang menuju kejayaan. “. Itulah antara rahsia kejayaan Tony Fernandes yang bukan lagi dianggap rahsia dalam falsafah seorang usahawan. Kejayaan bukan datang bergolek ke tangan kita, kita tidak boleh mengharapkan kejayaan tanpa berusaha berpenat lelah siang dan malam. Kita tidak boleh memikirkan dengan kerja yang senang dan mudah, kita boleh mencapai kejayaan yang besar.
Berikut adalah sambungan tips kejayaan yang telah dikongsikan oleh bos AirAsia :
- Melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh staf. Melalui cara begini, beliau dapat memahami dan mengesan cabaran dalam operasi syarikat.
- Percaya setiap pekerja adalah aset kepada syarikat. Tidak kira di bahagian mana mereka ditempatkan dan apa yang mereka lakukan, setiap dari mereka adalah penggerak syarikat.
- Menyerapkan budaya kuat dan cekap kerja di kalangan kakitangan sejak hari pertama mereka menyertai pasukan.
- Tony sendiri mendengar pandangan dan idea dari pekerja setiap bahagian dan peringkat. Idea yang bagus dan hujah yang bernas oleh pekerja akan diberikan perhatian.
- Memberikan berbagai insentif kepada mereka yang cemerlang dalam memberikan sumbangan kepada syarikat. Insentif bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, pekerja yang bekerja bersungguh-sungguh walaupun memiliki kelulusan yang rendah akan diberikan peluang untuk pengembangan karier mereka.
- Seorang usahawan perlu sentiasa melihat dan memikirkan peluang untuk berkembang.
Posted by
ferouxe on Friday 30 January 2009
Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi khasnya kepada pembaca daripada Malaysia. Salah seorang usahawan yang membawa perubahan kepada cara hidup rakyat Malaysia dalam bidang penerbangan. Menjadikan ramai golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana mengalami pengalaman untuk terbang di awan biru. Bermula dengan kerjaya dalam industri muzik dan kini menerajui industri penerbangan, kisah beliau seakan seperti usahawan Britain; Sir Richard Branson.
Bermula dengan 2 buah pesawat pada 2002, tetapi kini mempunyai sejumlah 75 pesawat ukuran besar dengan lebih seratus destinasi seluruh dunia dan jumlah bilangan destinasi akan bertambah lagi bulan demi bulan akan datang. Apakah kejayaan beliau ini boleh dikira nasib???, ataupun mengharapkan kroni yang ada dalam pentadbiran negara??? Berikut adalah maklumat / nota penting yang dipetik daripada akhbar Sinar, Khamis 29 Januari 2009 mukasurat 16, hasil temubual Ketua Pengarang Kumpulan Sinar dengan Tony Fernandes. Pengalaman dan falsafah kerja beliau yang berharga ini boleh dijadikan panduan bagaimana beliau boleh mengharumkan jenama AirAsia hingga ke peringkat antarabangsa.
- Tidak mempunyai bilik khas, sama seperti pekerja lain, orang no 1 AirAsia ini hanya mempunyai ruang kerja yang terbuka dan amat kecil.
- Mempunyai lebih kurang 400 kakitangan di pejabat AirAsia LCCT (Terminal Penerbangan Tambang Murah), dan Tony mengenali hampir semua kakitangan di situ dengan mengingat nama mereka.
- Selalu mengingatkan staf bahawa beliau bukan sahaja menggerakkan syarikat, malah semua pekerja yang menggerakkan syarikat.
- Menganggap pekerja adalah kawan dan sentiasa menghormati kawan, sama seperti pekerjanya menghormati Tony.
- Tidak menganggap segala yang diperkatakan oleh media sebagai sindiran, tidak berkecil hati dengan kata-kata negatif sebaliknya mengambilnya sebagai CABARAN.
- Menjadi hasrat untuk membolehkan semua rakyat Malaysia boleh terbang dan kapal terbang bukan lagi pengangkutan untuk orang kaya.
-
Berjaya menggajikan kira-kira 6000 orang kakitangan pelbagai peringkat kemahiran dan profesion dalam dan luar negara.
Bersambung….
Posted by
ferouxe on Thursday 29 January 2009
Mencari pendapatan tambahan adalah digalakkan bagi meningkatkan pendapatan diri sendiri ataupun yang telah berkeluarga boleh digunakan untuk kebaikan mengukuhkan kewangan keluarga. Lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang merundum pada masa kini, peluang kerjaya sebagai perunding takaful masih lagi boleh memberikan pendapatan lumayan.
Displin untuk menyimpan duit untuk masa depan adalah sangat perlu kepada individu yang telah mempunyai pendapatan. Dana untuk tabung pendidikan kanak-kanak perlu disediakan sejak anak itu kecil lagi. Kesedaran terhadap perlindungan kewangan / persediaan kewangan jika berlaku musibah telah banyak kali ditekankan.
Produk perlindungan kewangan takaful telah menjadi barang keperluan kepada semua lapisan masyarakat, bukan lagi dianggap barang mewah. Anda tidak perlu risau bahawa pasaran takaful masih terbuka luas di negara ini. Tidak seperti 20 tahun yang lampau, kini masyarakat telah terbuka minda bila berkata tentang perlindungan takaful.
Ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan peluang kerjaya sebagai perunding takaful sila email :
info@binausahawan.com
Posted by
ferouxe on Tuesday 27 January 2009
Kepimpinan adalah salah satu elemen penting dalam perniagaan. Selain faktor produk, pemasaran, perkhidmatan selepas jualan, kos perniagaan, produktiviti dan pelbagai faktor lain; kepimpinan dalam organisasi adalah penentu dalam arah tuju perniagaan dan faktor terpenting untuk membolehkan perniagaan pergi lebih jauh dalam perniagaan.
Menjadi pemimpin yang mempunyai daya kepimpinan bukan disebabkan faktor keluarga atau faktor saiz tubuh badan ataupun faktor kepetahan bercakap. Ada pemimpin yang dilantik oleh masyarakat tetapi dia belum tentu mempunyai kepimpinan. Dan ada ketika, ada pemimpin yang tidak dipilih / tidak popular tetapi mempunyai kebolehan dalam bekerja dan mempunyai daya kepimpinan.
Ini bermakna anda tidak terkecuali boleh menjadi pemimpin dalam organisasi anda. Jangan takut bahawa menjadi pemimpin bukan dilahirkan serta merta atau faktor semulajadi, tetapi pemimpin dipupuk hari demi hari. Latih diri sendiri menjadi pemimpin dengan memberikan contoh yang baik kepada rakan-rakan sekeliling dahulu.
Manjadi pemimpin kepada diri sendiri adalah latihan permulaan yang boleh kita mulakan sebagai persediaan untuk memimpin oraganisasi yang lebih besar lagi. Tumpukan kepada pengurusan masa dalam aktiviti harian, memberikan komitmen dalam tugasan yang diberikan, beri bantuan kepada rakan yang menghadapi masalah, berikan contoh yang terbaik dari segi zahir dan batin keperibadian anda.
Apabila anda sudah boleh menguruskan kepimpinan diri sendiri, maka mulakan langkah seterusnya untuk memimpin organisasi kecil sekeliling anda. Tiada mustahil kita semua mempunyai kebolehan untuk menjadi pemimpin.
Posted by
ferouxe on Saturday 24 January 2009
Sebelum petroleum dijumpai yang menjadi bahan bakar utama dalam dunia moden ini, lada hitam pernah digelar satu komoditi yang mahal melenyapkan seketika peranan emas dalam komoditi yang menjadi rebutan manusia. Menjadi ramuan dalam makanan, lada hitam yang banyak ditanam di negara India menarik pelbagai negara untuk datang membeli emas hitam ini.
Sebelum Syarikat Hindia Timur dan beberapa syarikat daripada Eropah sampai ke India dalam kurun ke 15, bangsa Rom telah sampai terlebih dahulu sebelum masihi bagi memenuhi keperluan makanan masyarakat Rom. Bangsa Rom membuat pelayaran daripada timur Mesir terus ke barat India dalam lebih kurang 45 hari untuk mengejar mendapatkan komoditi ini.
Ini mewujudkan ramai masyarakat pedagang Rom yang kaya daripada penemuan emas hitam ini. Kecekapan menghidu permintaan dan mendapatkan barangan untuk memenuhi permintaan adalah kemahiran asas seorang usahawan perlu miliki. Walaupun jauh daripada pusat pemerintahan di Rom, masyarakat pedagang Rom di barat Mesir dapat mengharungi cabaran di bumi tandus ini seterusnya dapat mewujudkan golongan jutawan melalui aktiviti perdagangan.
Di zaman moden yang mencabar ini, kita boleh mendapat maklumat pasaran daripada media walaupun permintaan datang dari serata dunia. Mempunyai kreativiti dalam menghasilkan produk perlu difikirkan bagi dapat memberikan saingan dan menjamin produk kita mempunyai daya saing dengan produk luar.
Posted by
ferouxe on Thursday 22 January 2009
Mendidik pekerja ataupun rakan perniagaan yang bernaung di bawah satu syarikat adalah kerja yang betul-betul mencabar kesabaran. Tanpa sifat kesabaran anda mungkin cepat naik berang, putus asa dan menarik diri dalam bidang ini.
Tidak kira organisasi besar ataupun yang kecil mendidik pekerja seakan seperti mendidik anak kecil walaupun hakikat sebenarnya pekerja itu sudah dewasa. Hasil kejayaan perniagaan adalah bergantung kepada hasil kerja pekerja anda. Jika cemerlang maka cemerlanglah perniagaannya. Jika sebaliknya anda juga akan menanggung.
Bagi pekerja yang telah mempunyai mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam kerja yang dilakukan, maka agak senang untuk usahawan itu melatih. Dan juga bagi pekerja yang mempunyai tahap pemahaman yang pantas juga tidak menjadi masalah besar untuk usahawan itu melatih. Ajar sekali, dia akan terus memahami dan boleh melakukan kerja beliau.
Apa akan jadi jika pekerja itu tiada kepakaran, tiada pengalaman dan lambat untuk memahami tugasannya. Jika usahawan itu panas baran terus sahaja dia melenting, memarahi si pekerja itu dengan perkataan yang agak pedih untuk didengari. Dalam situasi itu, usahawan jangan gunakan kemarahan dalam mendidik pekerja baru ini.
Dia bukanlah bodoh dalam pandangan kita, hanya tidak tahu dalam tugasannya dan perlu dididik dengan penuh kesabaran. Manusia mempunyai tahap yang berlainan antara satu sama lain. Yakinkan pekerja kita, jika berusaha sedikit demi sedikit, dirinya akan menjadi pandai juga.
Posted by
ferouxe on Wednesday 21 January 2009
Jutaan terima kasih diucapkan kepada pembaca yang sudi mendapatkan Ebook percuma Minda Usahawan daripada laman web ini. Kami berharap moga naskah ini sedikit sebanyak memberikan sentuhan motivasi keusahawanan dalam persediaan ataupun dalam perjalanan sebagai usahawan. BINAusahawan.com juga mengalu-alukan sekiranya naskah ini dapat dihadiahkan kepada pembaca lain sebagai perkongsian ilmu bersama.
Minda # 5 : Orang berjaya mencari peluang. Kita tidak boleh tunggu semua peluang perniagaan datang bergolek kepada kita. Kita tidak boleh tunggu juga segala ilmu datang melayang ke minda kita. Kita perlu mencari peluang perniagaan dan peluang menuntut ilmu setiap hari. Gunakan peluang yang ada disekeliling kita. Dan bagi BINAusahawan.com, kami memberi peluang pembaca belajar ilmu keusahawanan secara praktikal dengan percuma.
Dapatkan naskah Ebook ”30 Panduan Minda Usahawan Cemerlang” daripada laman web ini secara percuma.
Posted by
ferouxe on Tuesday 20 January 2009
“JENAMA” adalah topik besar dalam perniagaan, walaupun anda menjual pisang goreng sekalipun penjenamaan dalam perniagaan sedang berlaku walaupun anda tidak menghiraukan perkara ini. Penjenamaan bukan sahaja terletak kepada perniagaan besar atau parti politik sejak akhir-akhir ini juga menggunakan strategik penjenamaan untuk memberikan nafas baru dalam parti mereka.
Mempunyai jenama yang kuat dalam minda pelanggan akan memberikan impak besar dalam pengekalan perniagaan dalam pasaran. Malah jenama yang kuat juga secara tidak langsung akan memasarkan sendiri nama produk itu kepada bakal pelanggan baru. Bagaimana ini boleh berlaku?
Sekiranya jenama produk / perkhidmatan itu berjaya menawan hati pelanggan, maka secara tidak langsung nama produk itu akan sentiasa berada dalam minda pelanggan itu sendiri. Juteru itu bagaimana menawan hati pelanggan? Bukan sahaja promosi pemasaran yang hebat, perkara lain yang penting untuk menawan hati pelanggan ialah kualiti produk yang memuaskan hati pelanggan, layanan terbaik terhadap pelanggan semasa proses jualbeli, tahap kemudahan mendapatkan produk dan perkhidmatan selepas jualan.
Walaupun proses ini mengambil masa yang agak lama terutama sekali produk baru yang ingin bersaing dengan produk yang sedia ada dalam pasaran. Namun masih tidak terlambat jika usahawan itu bekerja keras memastikan aktiviti penjenamaan berlaku seiring dengan pertumbuhan perniagaaannya sendiri. Mungkin selepas ini apabila anda membuka internet untuk mencari maklumat bisnes inernet anda akan cari Saudara Irfan Khairi melalui irfankhairi.com, mencari teknik belajar anda akan cari Osman Affan melalui motivasibelajar.com dan apabila ingin mencari motivasi keusahawanan dan pengurusan perniagaan carilah BINAusahawan.com
Posted by
ferouxe on Monday 19 January 2009
“Saya telah alami pelbagai kegagalan ! saya pernah membuat kesilapan dalam keputusan organisasi, kesilapan dalam keputusan pemasaran dan banyak lagi, walaupun ada pelan ke dua dalam keputusan ini tapi masih lagi gagal. Saya tidak akan terfikir kita semua akan memandang kebelakang sambil berkata; saya tidak pernah buat kesilapan. Saya telah berada dalam dunia ICT selama lebih 30 tahun dan kesilapan adalah perkara utama dalam proses pembelajaran.”
Ini adalah petikan temubual akhbar Star Sabtu 17 Januari ruangan StarBizWeek dengan CEO TM International Berhad, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim (beliau adalah bekas CEO Maxis Communications Berhad). Kita perlu pelajari bahawa bukan sahaja usahawan yang baru melangkah ke dunia ini melakukan kesilapan, tetapi orang veteran yang mempunyai jawatan tinggi dan mempunyai pengalaman luas juga mengakui bahawa dia juga tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan dalam kerjaya harian mereka.
Apa yang usahawan muda rasai bahawa kesilapan adalah perkara yang akan menghalang perjalanan mereka. Justeru itu ramai yang menarik diri akibat tidak tahan menghadapi kesilapan apatah lagi kegagalan yang besar. Perkara ini semua adalah rutin harian kita dan kita semua perlu ingatkan dalam minda apabila melakukan kesilapan kita juga akan melakukan pembelajaran.
Posted by
ferouxe on Thursday 15 January 2009
Pernahkah anda membuat panggilan ke sebuah syarikat kepunyaan muslim untuk menanyakan permasalahan tetapi penjawab menjawab dengan kasar , ataupun pernahkah anda membuat aduan demi aduan tentang produk yang digunakan tetapi tiada jawapan / tindakan terhadap aduan anda, adakah anda pernah memasuki premis kedai muslim tetapi keadaan kedai yang menyedihkan / kotor / suram / tidak menyenangkan hati untuk masuk, layanan lembab terhadap pelanggan dan tidak menyediakan produk yang baik dari segi fizikal.
Begitulah persoalan bila kita bercakap berkenaan produk muslim. Bukan soal halal haram dalam produk sahaja yang perlu diambil berat, tetapi soal-soal penyediaan produk sehingga kepada penyampaian kepada pelanggan dan seterusnya perkhidmatan selepas jualan adalah kelemahan utama yang usahawan muslim masih hadapi terutama di negara ini. Namun ini bukan titik noktah bahawa kita tidak boleh berubah kepada yang lebih baik. Pembelajaran dengan membuat pemerhatian terhadap pernigaan yang maju adalah cara jalan yang mudah dan tidak menggunakan kos yang banyak.
Kita boleh membuat rujukan tidak kira melalui internet, akhbar atau datang sendiri melihat bagaimana sesuatu perniagaan itu telah maju. Tidak salah jika kita meniru perkara yang baik dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan. Banyak usahawan muslim masuk dalam pasaran dengan pelbagai produk tetapi antara kelemahan yang mengakibatkan sukar untuk bertahan dalam pasaran adalah dari segi pemberian perkhidmatan kepada pelanggan. Banyakkan bertanya maka kita boleh banyak belajar. Jika banyak ilmu banyak cahaya yang akan menerangi jalan di hadapan, jika kita tidak mahu ilmu jalan di hadapan akan sentiasa gelap gelita.