Posted by
ferouxe on Wednesday 31 December 2008
Beberapa jam lagi tirai 2008 akan dilabuh tirainya, tahun 2008 telah banyak meninggalkan kenangan untuk kita jadikan panduan bersama menempuhi cabaran di tahun yang akan menjelang tiba. Banyak peristiwa pahit manis yang tidak dapat dituliskan kesemuanya dalam post, hanya beberapa perkara yang menjadi paparan muka depan akhbar utama di negara ini yang boleh kita kenangkan.
Dalam topik politik tanahair, pilihanraya umum pada tahun ini mencatatkan keputusan yang bukan daripada kebiasaan tahun-tahun pilihanraya lalu, pihak pembangkang menguasai banyak kerusi di parlimen. Ini akan mewujudkan satu keadaan “check and balance” yang adil dan memberikan senario politik yang lebih matang untuk kebaikan rakyat. Dato Lee Chong Wei dan Dato Nicol menjadi selebriti utama dalam topik sukan kerana mereka bukan sahaja memegang status pemain terbaik dunia malah akan memberi semangat kepada anak muda yang ingin menceburi bidang sukan dengan lebih serius.
Peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa mengajar kita bahawa kuasa alam tidak boleh dilupakan dalam mengejar pembangunan. Manusia perlu berfikir bahawa dalam mengejar kemewahan dunia kita seharusnya memastikan kesejahteraan alam sentiasa terjaga. Kesan kemerosotan ekonomi daripada negara Amerika secara beransur akan merebak ke negara Asia, terbaru saham Nikkei jatuh 42% terburuk dalam sejarah. Harga minyak melambung tinggi melebihi paras 100 Dollar setong pada pertengahan tahun dan jatuh menjunam menghampiri 40 Dollar setong pada penghujung tahun.
Tidak kurang berita-berita hangat dalam dunia hiburan tanahair disajikan dengan berita perkahwinan besar-besaran pasangan Mawi dan Ekin menjadi topik utama selain kisah perceraian dikalangan selebriti tanahair menjadi buah mulut peminat hiburan. Dalam ruangan antarabangsa berita kemenangan Presiden Amerika Syarikat yang pertama dari kaum kulit hitam menjadi satu sejarah dalam pemerintahan negara ekonomi besar masa kini.
Binausahawan.com ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca yang memberikan sokongan dan galakan untuk meneruskan penulisan ini. Inshaallah 2009 akan menjanjikan beberapa penghasilan produk baru daripada binausahawan.com untuk mewujudkan ramai golongan usahawan di tanahair.
Selamat Menyambut Tahun Baru 2009
Posted by
ferouxe on Tuesday 30 December 2008
Setelah kita menemui maksud kenapa kita perlu menjadi usahawan muslim, kita perlu mengetahui pula langkah seterusnya bagaimana melaksanakan kerjaya kita dengan mengikut peraturan syarak. Aktiviti keusahawanan adalah berkaitan dengan aktiviti jual beli. Ini bermaksud kita perlu memahami untuk menjalankan urusniaga kita perlu bersandarkan hukum syarak, tiada penipuan dalam timbang sukat, memutar belit maklumat produk dan mengambil bayaran yang lebih daripada sepatutnya.
Menjual barangan dan perkhidmatan pula mestilah barangan yang halal dari sudut hukum agama dan dihasilkan juga dengan cara yang halal. Bukan sahaja mesti berdasarkan hukum syarak, barangan itu pula mestilah bersih fizikalnya kerana untuk menjaminkan pengguna menggunakannya dengan selamat. Bagi menjamin kebersihan dan status halal bagi produk yang dikeluarkan, adalah menjadi tanggungjawab pemilik perniagaan untuk memantau produksi syarikat dari semasa ke semasa.
Hal-hal lain yang berkaitan operasi pentadbiran perniagaan juga amat diberi perhatian. Terutama sekali dalam menguruskan kewangan. Pemilik perniagaan muslim wajib untuk mengelakkan urusniaga perniagaannya terlibat dalam perkara yang mengandungi unsur-unsur riba yang ditegah dalam muamalat agama islam. Aktiviti mengambil keuntungan atas duit ini adalah dosa yang besar dan umat islam tidak boleh memandang ringan dengan perkara ini.
Posted by
ferouxe on Monday 29 December 2008
Kita semua menggunakan masa dan tenaga untuk mencari nafkah seharian, ada yang mencari nafkah dengan membanting padi di sawah kampung sehingga menguruskan perniagaan di pejabat yang besar. Tidak kira apa pekerjaan sekalipun manusia akan menggunakan kudrat untuk mencari sesuap nasi setiap hari. Namun jika manusia itu tidak dapat bergerak ataupun terlantar di katil akibat hilang upaya kekal yang menyeluruh, dia tetap memerlukan wang ringgit untuk meneruskan kehidupan bukan sahaja untuk dirinya malah untuk tanggungan beliau.
Di saat ini pelan takaful keluarga akan memberikan manfaat dalam bentuk wang ringgit yang akan meringankan beban kewangan peserta serta keluarga peserta jika berlaku hilang upaya kekal yang menyeluruh. Tidak kira akibat kemalangan ataupun sakit yang mengakibatkan peserta tidak dapat mencari nafkah untuk hidupnya, pelan takaful keluarga berupaya meringankan segala tanggungan dalam kehidupan peserta yang menyertai pelan ini. Justeru itu, semasa kita masih lagi sihat tubuh badan dan mempunyai masa, maka kita berpeluang menyertai pelan ini.
Sebarang pertanyaan sila email kepada : info@binausahawan.com
Krew binausahawan.com ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua pembaca muslimin dan muslimat tidak kira berada dimana sekalipun. Mari kita tingkatkan produktiviti yang lebih baik berbanding tahun yang lalu.
Posted by
ferouxe on Friday 26 December 2008
Seperti masakan gulai tidak akan lengkap tanpa garam, seperti minuman tidak akan sesedap jika tidak dicampur gula. Begitu juga apabila kita ketawa dalam hidup seharian, maka ia secara tidak langsung akan melengkapkan motivasi kerjaya seorang usahawan. Ketawa adalah salah satu mekanisme yang sungguh unik dalam kehidupan kita.
Jika kita selalu senyum dan ketawa akan sentiasa seperti muda seperti yang sering dikata orang ramai, dan ia betul-betul adalah teori yang benar kerana apabila kita sentiasa senyum, ia menjadikan urat-urat di muka akan longgar berbanding orang yang sering muram masam maka urat-urat di muka akan mengecut. Itulah sebabnya kita boleh lihat 2 individu yang mempunyai umur yang sama tetapi mempunyai raut wajah yang berlainan tidak seperti usianya
Ketawa juga boleh juga menjadi terapi penyakit-penyakit kronik, mungkin jika kita sentiasa berduka lara akibat sakit itu, minda akan sentiasa menggambarkan sakit dan ini menyumbangkan kepada tahap penderitaan sakit itu. Sama juga jika kita asyik berduka lara akibat kegagalan / cabaran / halangan dalam kerjaya usahawan, maka secara tidak langsung ini juga menyumbangkan kepada penurunan produktiviti perniagaan anda.
Mulakan hari ini dengan senyuman, ketawa, bergembira dengan bercakap sesama rakan anda. Gurauan juga merapatkan hubungan dalam pasukan anda. Tetapi awasi kata-kata kerana gurauan yang melampau membawa padah. Jika merasa duka hari ini, pandang diri di cermin dan senyum sepuas-puas. Tonton filem komedi atau baca komik komedi mungkin menambahkan ceria dan senyuman anda dalam hari ini. 
Posted by
ferouxe on Thursday 25 December 2008
Selepas seharian kita mengendalikan perniagaan atau mungkin selepas beberapa bulan kita telah berjaya menyelesaikan sesuatu projek, seorang pemilik perniagaan tentu akan meluangkan masa bergembira bersama staff bawahannya. Tidak kira dimusim perayaan ini merancang untuk bercuti di luar kawasan ataupun belanja minum petang adalah kelaziman yang dibuat dalam organisasi perniagaan untuk meredakan tekanan.
Selalunya program ini dibuat dalam bentuk kecil / unit kecil / dalam bilangan yang kurang 10 orang. Pekerja-pekerja tentu gembira kerana dalam masa ini adalah masa bergembira dan tidak menyentuh apa-apa perkara berkaitan kerja. Dalam masa ini juga kita boleh mengenali sifat pekerja kita dengan lebih mendalam. Ini perlu kerana sifat pekerja berlainan antara satu sama lain dan kita perlu tahu begaimana menangani masalah mengikut sifat mereka pada masa lain kelak.
Selain dari itu juga, berceritakan topik yang memberikan tauladan pada masa ini sangat penting kerana dikala sedang bergembira, manusia akan lebih senang menerima pengajaran daripada dalam keadaan yang murung / marah / atau sering disebut tiada mood. Selitkan pengajaran dalam contoh sesuatu kisah moga mereka dapat membawa contoh baik ketika kembali ke tempat kerja kelak. Jadikan ini sebagai rutin bulanan organisasi anda kerana kerja harian akan menjadi bosan jika tiada masa bergembira.
Posted by
ferouxe on Tuesday 23 December 2008
Dalam diri kita tidak akan mahu untuk menjadi Miskin Harta dan Miskin Budi Pekerti. Bukan sahaja tidak memiliki harta untuk meneruskan kehidupan malah tidak berbudi pekerti yang mulia. Sering menyalahkan kesalahan orang lain akibat kerana kemiskinan diri. Sombong dengan orang lain, tidak menerima teguran orang lain dan sering bercakap besar walaupun apa yang diucapkan tidak difahami oleh dirinya sendiri.
Tetapi terdapat kewujudan golongan dimana dia Kaya Harta tetapi Miskin Budi Pekerti. Dia mempunyai harta yang melimpah ruah, pangkat serta darjat yang tinggi dalam masyarakat tetapi akibat alpa dengan segala kemewahan yang dimiliki, dia bersikap angkuh dengan orang lain terutama kepada yang rendah mertabatnya dan tidak memberi apa-apa manfaat kepada kekayaannya.
Namun tidak dinafikan bahawa ada diantara kita yang tidak mempunyai apa-apa kekayaan dalam dirinya tetapi sungguh baik akhlaknya kepada orang lain tidak kira kepada yang miskin ataupun yang kaya. Dia tidak menyalahkan nasib akibat kemiskinanya dan sentiasa berbuat baik sesama manusia. Kita namakan dia adalah Miskin Harta tetapi Kaya Budi Pekerti.
Tetapi alangkah bagusnya jika dalam minda kita mempunyai keinginan untuk menjadi Kaya Harta dan Kaya Budi Pekerti.
Posted by
ferouxe on Monday 22 December 2008
Islam menggalakkan penganutnya menjalankan perniagaan. Malah dengan kegiatan ini kita dapat menyalurkan banyak harta untuk pembangunan ummah itu sendiri. Bagi membantu ummah islam kita boleh menyalurkan segala kekayaan dengan membantu membina madrasah, menyediakan buku-buku dan peralatan persekolahan, membantu warga miskin yang memerlukan bantuan akibat mengidap sakit.
Sebelum memulakan perniagaan, fikirkan apakah tujuan asal kita terjun dalam bidang ini. Pastikan niat murni perlu ada kerana jika kita tiada panduan, kita akan dilalaikan oleh harta yang melimpah ruah ini. Tanpa niat yang suci kita mungkin juga akan dapat mengumpul harta kekayaan yang melimpah ruah tetapi pada masa yang sama harta ini juga akan menjahanamkan kita di hari akhirat kelak.
Oleh yang demikian janganlah bimbang kerana mencari harta didunia bukan bermaksud kita membelakangkan suruhan tuhan. Harta yang kita dapat di dunia ini boleh digunakan untuk jalan kejahatan dan harta yang kita dapat di dunia ini juga boleh digunakan untuk jalan kebaikan. Pilihan ada di tangan anda.
Posted by
ferouxe on Saturday 20 December 2008
Dunia yang kita diami kini akan musnah akibat tangan kita sendiri. Tidak mustahil hari demi hari dunia akan musnah akibat sifat tamak manusia dan tiada perihatin kita sebagai penduduk bumi. Pemeliharaan dan pemuliharaan dunia yang kita sayangi perlu dilakukan tidak mengira bangsa, agama, keturunan dan darjat sekalipun.
Terbaru berita penggondolan kawasan bukit menyebabkan akan sering berlaku tanah runtuh pada musim hujan. Namun ada banyak lagi kerja tangan manusia lain yang turut menyebabkan tercemarnya alam sekitar. Pembuangan sisa kilang ke sungai menyebabkan kualiti sungai merosot. Pembunuhan haiwan terlindung tidak kira untuk dijadikan makanan atau tujuan lain menyebabkan ekosistem habitat hutan akan terganggu.
Pembuangan sampah sesuka hati oleh manusia yang tidak bertanggungjawab mengundang penyakit berbahaya seperti denggi kepada manusia sendiri. Pembalakan yang berleluasa yang lebih mengguntungkan sebelah pihak atas ketamakan manusia itu mengundang keadaan pemanasan global yang seterusnya menjadi faktor atas keadaan cuaca yang tidak menentu.
Kita tidak perlu menjadi ahli politik untuk menggubal undang-undang alam sekitar, kita tidak perlu juga menjadi orang ternama seperti Karam Singh Walia untuk menjadi duta mempromosikan kempen sayangi alam sekitar dan tidak perlu menunggu menjadi jutawan untuk membantu menangani masalah ini.
Dua tangan kita sahaja sudah cukup untuk membantu menjaga alam sekitar. Buang sampah ke dalam tong sampah, adu kepada pihak berkuasa jika terdapat kilang yang menyalurkan sisa kilang ke sungai, mengurangkan penggunaan kenderaan, gunakan perkhidmatan awam jika perlu, kurangkan penggunaan bag plastik jika membeli dan didik generasi bawah kita betapa penting menjaga alam sekitar.
Kempen kesedaran menjaga alam sekitar yang menelan belanja lebih berjuta-juta ringgit tidak akan mendatangkan hasil jika kesedaran manusia ini belum ada lagi dalam minda mereka. Disamping undang-undang yang diwartakan untuk mengatasi masalah alam sekitar, penguatkuasaan undang-undang juga turut sama menjadi pendidik kepada manusia yang tidak berhati perut ini. Jangan terkejut mungkin suatu hari nanti anda akan ditangkap oleh pegawai alam sekitar kerana membuang sisa puntung rokok daripada kenderaan anda.
Posted by
ferouxe on Friday 19 December 2008
Musim konvokesyen datang lagi, banyak majlis-majlis konvokesyen yang dianjurkan oleh IPTA dan IPTS untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar yang telah menunjukkan keputusan yang memberansangkan dalam pengajian mereka. Tahniah diucapkan kepada graduan yang telah berusaha bersungguh-sungguh hingga ke tahap ini.
Dan pada musim ini juga, graduan-graduan tidak kira yang belajar di luar negara mahupun tempatan yang mula memikirkan kemana arah tuju mereka selepas ini. Ada yang ingin memulakan kerjaya dengan melayari portal yang mengiklankan jawatan kosong, mencari iklan di akhbar harian ataupun sedang memikirkan peluang untuk bekerja sendiri sebagai usahawan.
Binausahawan.com telah mendapat maklumbalas sebelum ini, yang ramai graduan sudah mula beralih arah kepada kerjaya untuk kerja sendiri berbanding trend 10 tahun lampau dimana ramai graduan berminat untuk kerja makan gaji selepas menamatkan pengajian. Ini tanda positif dalam masyarakat kita bahawa bekerja sendiri juga menjamin masa depan yang cerah.
Berbekalkan pengalaman melatih perunding takaful baru, binausahawan.com mempunyai kepakaran melatih graduan-graduan yang ingin menceburi bidang ini tidak kira bermula sebagai separuh masa atau terus sebagai sepenuh masa. Kerjaya sebagai perunding takaful adalah kerjaya bekerja sendiri sama juga seperti kerjaya usahawan lain dan ini memerlukan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi.
Sebarang pertanyaan boleh di email kepada
info@binausahawan.com
Posted by
ferouxe on Thursday 18 December 2008
Lirik ini dipetik daripada lagu motivasi yang sering dinyanyikan untuk menanamkan ke dalam minda kita bahawa jika kita sentiasa berfikiran BOLEH maka kita BOLEH melakukannya. Hayati lirik ini satu persatu, kerana kita jarang merasa kekuatan kata-kata motivasi dalam lirik ini ketika sedang menyanyi.
Jika kau fikirkan kau boleh, kau hampir boleh melakukan,
Jika kau fikirkan ragu-ragu, usahamu tidak menentu,
Jika kau fikirkan kekalahan, kau hampiri kegagalan,
Jika kau fikirkan kemenangan, kau hampiri kejayaan,
Engkaulah apa yang kau fikirkan, terkandung dalam pemikiran,
Berfikir boleh melakukan, fikirkan boleh,
Percaya apa kau lakukan, tabah apa kau usahakan,
Bertindak atas kemampuan, kau boleh………..