Posted by
ferouxe on Saturday 29 November 2008
Mengkaji kisah kejayaan tamadun lampau adalah satu perkara yang menarik dan seharusnya diteruskan walaupun kita bukan terlibat dalam bidang pengkajian sejarah. Melalui pembacaan dan tontonan segala kisah kejayaan lampau boleh kita jadikan satu panduan bagaimana memperbaiki corak kehidupan yang lebih moden dan sistematik untuk masa hadapan.
Ada kata-kita hikmah yang berbunyi “Rome tidak dibina dalam sehari”. Dalam kita membina kejayaan bukan datang dalam masa sekelip mata, kita perlu sabar dan berusaha bersungguh-sungguh menanti kejayaan dalam genggaman. Seperti kata pujangga ini, tahukah anda, Rome adalah kuasa besar yang terbentang luas daripada England ke benua Eropah, Afrika Utara hingga ke Timur Tengah, bermula dengan bandar kecil di Itali kira-kira 753 sebelum masihi.
Tamadun Rome memang terkenal dengan kejuruteraan senibina yang sungguh menakjubkan dan banyak memberi sumber inspirasi dalam kejuruteraan moden masakini. Pembinaan Akuaduks (struktur yang mengalirkan air dari sumber air seperti gunung) adalah bukti bahawa Rome seperti kehidupan moden kini yang mementingkan sistem pengairan air yang bersih untuk kegunaan harian kepada penduduk Rome ketika ini. Ada yang mengatakan bahawa penduduk Rome berbangga dengan tamadun mereka kerana mereka bersih daripada bangsa tamadun lain.
Monumen kedua yang menjadi kehebataan kejuruteraan Empayer Rome adalah kubah pada bangunan Pentheon. Struktur ini dibina dalam bukaan kira-kira 150 kaki tanpa sokongan sebatang tiang. Sungguh menakjubkan kerana pada hari ini tiada lagi kubah yang dibina menandingi kubah pada bangunan Pantheon. Antara tujuan pembinaan bangunan ini selain sebagai rumah ibadat, ia juga untuk menandakan kehebatan dan kekuasaan kerajaan Rome pada ketika itu kepada dunia luar.
Colosseum antara monumen yang paling biasa kita lihat bagi menggambarkan kejayaan kejuruteraan Empayer Rome membina gelanggang yang boleh menempatkan kira-kira 70,000 penonton untuk menonton perlawanan yang tiada pada waktu ini iaitu pembunuhan. Diluar pembunuhan adalah sesuatu yang mengerikan, tetapi apabila berada dalam colosseum ini pembunuhan adalah satu hiburan. Idea pembinaan colosseum ini asal daripada gabungan 2 Amphitheatre (gabungan dua pentas bagi pementasan teater yang berbentuk separa bulat)
Sememangnya pembinaan monumen yang menakjubkan hingga hari ini adalah idea pemerintah kerajaan Rome pada masa itu bertujuan untuk memahat nama mereka dalam sejarah peradaban tamadun Rome. Ia juga kejayaan daripada semua yang mengambil bahagian menjayakan projek ini, daripada pereka bentuk bangunan, jurutera pembinaan, ketua projek dan hamba abdi yang bekerja siang malam bagi melengkapkan projek yang di arahkan. Kejayaan akan tercapai jika semua pihak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas masing-masing dengan gigih.
Posted by
ferouxe on Wednesday 26 November 2008
Aktiviti jualan adalah nadi dan jantung dalam satu-satu perniagaan. Jika sesebuah syarikat itu mempunyai produk yang begitu invotif sekalipun, syarikat tidak akan maju kehadapan jika tidak berjaya menjual produk mereka. Tetapi jika sebuah syarikat pakar dalam jualan hatta batu sungai sekalipun, maka tidak mustahil perniagaan mereka akan berkembang maju.
Pada kebanyakan masyarakat di negara kita khususnya orang melayu yang beragama Islam, mereka masih lagi memandang kerjaya sebagai penjual adalah kerjaya kelas ketiga atau dipandang kerjaya untuk orang yang tidak berjaya dalam bidang akademiknya. Tetapi tahukah anda bahawa kerjaya sebagai penjual adalah kerjaya yang menjanjikan pendapatan lumayan dan tiada had pendapatan selagi anda boleh bekerja dengan lebih gigih. Lebih hebat daripada bekerja di dalam pejabat berhawa dingin.
Penulis pernah berbual-bual dengan seorang penjual aksesori keselamatan kereta yang berbangsa cina, umur dalam awal 20an dan hanya mempunyai pendidikan SPM sahaja. Melalui jawapan daripada soalan “indirect questions” saya, beliau sudah mampu memiliki pendapatan Rm4000 hingga RM5000 sebulan !. Saya yakin beliau boleh pergi jauh dalam kerjaya beliau dalam pada masa usia yang masih muda. Dan tentu membina perniagaan sendiri adalah cita-citanya pada masa terdekat.
Oleh yang demikian jangan memandang rendah kepada kerjaya sebagai penjual. Walaupun mereka nampak seperti meminta-minta dan menyusahkan diri kita, hakikatnya mereka mempunyai kekuatan kewangan lebih hebat daripada anda yang tidak pernah menjual. Mulai hari ini cuba menjual produk sebagai latihan asas menjadi usahawan masa depan. Tiada yang mustahil.
Posted by
ferouxe on Tuesday 25 November 2008
Menggunakan kad perniagaan adalah perkara lumrah dalam dunia perniagaan masakini. Tidak kira apa jua perniagaan yang dijalankan, kad perniagaan digunakan untuk memperkenalkan diri, syarikat dan apakah perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat itu. Ada pelbagai rekabentuk kad perniagaan yang boleh didapati dalam pasaran. Bukan itu sahaja malah ada pelbagai teori yang dibincangkan bagaimana merekacipta kad perniagaan yang unik untuk menarik pelanggan menggunakan barangan / perkhidmatan kita.
Dalam proses jualbeli dengan bakal pelanggan, kita seharusnya memperkenalkan diri kita, dan cara yang terbaik ialah memulakan pengenalan dengan memberi kad perniagaan kita. Berbanding jika hanya mengucapkan dengan mulut tidak semua bakal pelanggan akan sentiasa mengingati nama kita, apatah lagi jika ini adalah pertemuan pertama dan anda mempunyai nama yang panjang dan sukar untuk disebut dan diingati. Sekiranya kad perniagaan ini digunakan, maka bakal pelanggan akan dapat menyebut nama dan syarikat anda dengan betul.
Serahkan kad perniagaan dengan kedua belah tangan seperti adat ahli perniagaan orang Jepun yang biasa dilakukan. Kenapa kita berbuat demikian?. Cuba bayangkan jika seorang penjual menyerahkan kad perniagaan dengan sebelah tangan, nampak seperti tidak sopan dan si penjual itu seperti tidak bersungguh-sungguh dalam mendapatkan bisnesnya. Berikan dengan senyuman dan tunjukkan kesungguhan melakukan proses jual beli. Jalankan urusniaga dengan penuh keyakinan.
Posted by
ferouxe on Monday 24 November 2008
Kita semua tidak kira makan gaji ataupun menjalankan perniagaan adalah pembeli. Dan sebagai pembeli kita mempunyai hak untuk membuat pilihan. Memilih kedai mana yang memberi perkhidmatan yang terbaik walaupun barangan yang kita inginkan dijual dipelbagai tempat. Kita juga boleh membuat aduan sekiranya kita mendapati ditipu dalam urusan jual beli. Laporkan dengan memberi maklumat serta bukti dengan segera jika terdapat sebarang syak yang peniaga memanipulasi segala maklumat perniagaan mereka.
Jika kita bercakap dari perspektif keusahawanan pula, kita juga berhak memilih kerjaya dalam menentukan kehidupan kita. Walaupun pelbagai saranan oleh kerajaan, badan swasta dan tidak terkecuali binausahawan.com juga mempromosi kerjaya usahawan sebagai kerjaya yang memberi peluang cerah dalam kehidupan, kuasa membuat pilihan adalah diri anda sendiri. Sering di perkatakan dalam tulisan motivasi “Diri anda adalah apa yang anda fikirkan dan mahukan dalam hidup“. Ini bermaksud jika kita selalu fikirkan untuk bekerja makan gaji maka seumur hidup kita akan bekerja makan gaji.
Manakala jika anda fikirkan untuk suatu hari nanti akan menceburi bidang keusahawanan, jawapannya suatu hari nanti akan terjun dalam bidang ini. Lebih tepat lagi anda membuat pilihan yang jelas dan tepat, contohnya : “Aku ingin menceburi bisnes bermula 1 Januari 2009 dan perlu membuat persediaan daripada hari ini”. Jangan ragu-ragu dan takut kepada kemampuan diri sendiri. Ingat, jika minda berkata saya pilih untuk berjaya, maka orang lain akan melihat kita akan berjaya suatu hari nanti.
Posted by
ferouxe on Friday 21 November 2008
Selepas menamatkan pelajaran universiti, Wan Ismail (bukan nama sebenar) bekerja dengan syarikat perkapalan yang beribu pejabat di Klang Selangor. Beliau ditugaskan untuk memantau proses kemasukan barang import yang datang dari serata dunia. Semasa bertugas sebagai eksekutif beliau dapat mempelajari banyak perkara yang berkaitan dengan perkapalan, jauh sekali bidang daripada pengajiannya yang diambil semasa di universiti.
Keramahan dan kesungguhan beliau semasa bekerja menyebabkan beliau dapat mengenali pelbagai orang yang berpengalaman luas dalam kerjaya ini. Daripada sini beliau mula mencari peluang-peluang yang boleh digunakan sebagai memulakan perniagaan sendiri dalam bidang perkapalan kerana perkhidmatan dalam bidang ini berkait dengan perkapalan akan mendapat tukaran wang asing yang tinggi nilainya.
Beliau faham bahawa apa-apa bidang perniagaan yang berurusan dengan bidang perkapalan mendapat bayaran tinggi kerana syarikat perkapalan adalah syarkat yang besar dan mempunyai kewangan yang kukuh untuk membuat bayaran. Tidak kira walaupun kita mengambil kontrak mencuci pakaian anak kapal, hasilnya berlipat ganda. Hasil kajian selama 3 tahun beliau menjumpai satu peluang perniagaan yang memerlukan “Tuck Boat”.
Selalunya kapal-kapal yang mendarat di pelabuhan akan menggunakan dermaga untuk memberhentikan kapal memunggahkan barang masuk / keluar dari kapal. Selepas itu kapal itu perlu keluar untuk memberikan kapal lain untuk menggunakan ruang itu. Sekiranya kapal itu perlu berhenti untuk jangkamasa lama, mungkin atas faktor memperbaiki enjin / mereka telah berlayar dalam tempoh yang lama, mereka perlu meletakkan kapal jauh sedikit daripada pelabuhan.
Dan pada ketika ini tuck boat berfungsi. Membawa anak kapal ke pelabuhan, menghantar bekalan makanan atau air. mengambil baju atau pakaian untuk dibersihkan, memperbaiki peralatan kapal yang rosak dan lain-lain. Melalui kenalan dari Singapura, Wan Ismail berjaya meminjam tuck boat dengan bayaran sewa yang berpatutan. Maka bermulalah operasi perniagaan beliau setelah 4 tahun bekerja makan gaji.
Kini perniagaan Wan Ismail bertambah maju dan beliau sudah mampu membeli tuck boat sendiri untuk membesarkan lagi perniagaan beliau. Mempunyai pejabat di Subang Jaya dan beliau sedang merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan beliau dalam industri perkapalan. Syabas dan tahniah atas kejayaan yang beliau telah tunjukkan.
Posted by
ferouxe on Thursday 20 November 2008
“Ahhh boring kursus lagi, kursus lagi, kursus tak habis-habis”
“Saya rasa tak perlu pergi kursus tu tajuk hampir sama dah tahu dahh”
“Tak payah ajar saya, saya dah tahu”
Begitulah rungutan seorang yang sudah bosan dengan proses pembelajaran. Anda sudah tahu bahawa proses pembelajaran adalah pelaburan yang penting bukan sahaja untuk kebaikan perniagaan, malah untuk pembentukan peribadi yang lebih baik. Jangan fikirkan yang diri kita sudah tahu segala-galanya. Jika perkara ini berlarutan perasaan sombong dan bongkak akan datang dalam diri. Harap dapat jauhkan sikap ini.
Persediakan minda dengan keinginan untuk belajar tidak kira apa jua perkara walaupun perkara hampir sama seperti yang dipelajari. Sebelum ini kita sudah belajar cara membuat jualan daripada saudara A, apa kata hari ini kita belajar topik yang sama daripada saudara AAA pula. Dan lusa jika berjumpa rakan baru yang juga mengajar topik yang seakan sama jangan mengeluh dengan perkara sama. Mungkin tajuk sama tetapi pendekatan yang berlainan untuk dipelajari.
Selain daripada itu juga letakkan didalam minda perasaan untuk dahaga ilmu seperti kita dahaga air sewaktu selepas bersukan. Dapatkan bahan bacaan ketika ada masa lapang, menunggu rakan yang lewat datang, waktu rehat ataupun didalam kenderaan awam. Peruntukan sedikit bujet untuk membeli bahan bacaan ilmiah yang membentuk keperibadian yang mulia. Pelbagaikan bacaan, bukan sahaja tertakluk kepada bidang yang diceburi. Ini menjadikan minda pemikiran kita akan bertambah luas.
Posted by
ferouxe on Tuesday 18 November 2008
Salah satu sifat yang mesti ada dalam minda bakal seorang usahawan ialah menghormati orang yang telah berjaya dalam kerjaya perniagaan mereka. Perasaan hasad dengki dan cemburu membabi buta terhadap kejayaan orang lain tidak mendatangkan faedah kepada diri kita. Walaupun secara logik kita akan berfikir dengan memusnahkan perniagaan orang lain kita boleh maju ke depan…TIDAK SAMA SEKALI.
Jika kita berfikiran sedemikian, musibah pertama yang akan datang kepada kita ialah persepsi / pandangan masyarakat kepada diri kita. Walaupun kita boleh menyorokkan kerja jahat kita lambat laun masyarakat akan mengetahui juga. Jalan untuk maju kehadapan akan sukar kerana masyarakat sekeliling telah melabelkan diri kita sebagai individu yang tidak berguna dan perosak dunia perniagaan.
Selain daripada itu juga putaran perniagaan akan terjejas jika kita cuba memusnahkan pesaing perniagaan ataupun perniagaan lain yang bukan daripada bidang kita. Umum sudah tahu walaupun perniagaan adalah daripada perlbagai jenis, kita memerlukan pertolongan dan kerjasama erat antara satu sama lain. Oleh yang demikian jalan untuk maju kehadapan bertambah tambah sukar akibat sifat hasad dengki dengan kejayaan orang lain.
Mulai hari ini tanamkan dalam minda kita untuk menghormati dan mempelajari daripada orang yang telah berjaya. Jika kita dapat bersua dengan mereka, jangan lepaskan peluang mendapatkan kata-kata nasihat dan motivasi keusahawanan daripada mereka. Berikan ucapan tahniah jika rakan kita telah berjaya dalam perniagaan mereka. Jika agak sukar bersua dengan mereka, sering membaca kisah-kisah kejayaan mereka daripada akhbar, buku atau internet.
Posted by
ferouxe on Monday 17 November 2008
Musim haji datang kembali. Pada setiap tahun, seluruh umat islam daripada pelbagai pelusok dunia akan membuat satu perjalanan ke Mekah untuk membuat ibadat yang dipanggil dalam Bahasa Melayu mengerjakan “Haji”. Selain daripada menunaikan sembahyang, berpuasa dan memberi zakat (memberi sebahagian harta kepada orang yang memerlukan), mengerjakan haji adalah kewajipan orang islam dengan syarat dia berkemampuan dari segi kewangan dan tenaga fizikalnya.
Kita patut berbangga dengan sistem pengurusan yang cekap di negara ini, telah tertubuhnya badan yang mengendalikan para jemaah haji dalam proses perjalanan pergi, hal ehwal kebajikan semasa di tanah suci dan juga proses setelah kembali ke tanah air. Selain daripada itu juga bakal jemaah haji dikehendaki membuat perancangan menyimpan wang dalam akaun untuk tujuan itu. Idea emas ini dicetuskan oleh Professor Diraja Ungku Aziz yang menekankan kepentingan menguruskan penghantaran jemaah haji dengan sistematik.
Berbanding dengan negara Islam lain, contohnya negara jiran, mereka datang ke Mekah dengan perancangan sendiri tanpa diuruskan oleh badan tertentu. Ada yang membuat pinjaman untuk tujuan perjalanan ini. Disebabkan kewangan yang tidak mencukupi adakalanya mereka membawa bekal dan datang ke Masjidil Haram setiap awal pagi dan kembali ke hotel yang jauh daripada masjid pada lewat malam. Keadaan akan bertambah sukar jika terdapat masalah yang tidak dijangka dalam tempoh melakukan ibadat itu.
Sistem pengurusan jemaah haji yang yang sistematik telah menjadi contoh kepada negara lain yang juga ingin melaksanakan sistem demikian di negara mereka. Bukan sahaja melakukan ibadat, malah kehidupan harian kita memerlukan sistem pengurusan yang cekap untuk memastikan masalah harian yang tidak dijangka boleh diselesaikan dengan berkesan.
Posted by
ferouxe on Saturday 15 November 2008
Hampir semua kita menggunakan telefon bimbit. Salah satu alat moden yang sudah menjadi keperluan dalam kehidupan kita. Pengguna telefon bimbit boleh bercakap dengan orang lain tanpa menggunakan wayar, sesuatu yang tidak ada 20 tahun lampau di Malaysia. Ini adalah hasil teknologi gelombang yang boleh membawa getaran beribu kilometer dalam muka bumi ini.
Suara kita juga adalah kurnia Allah yang tidak ternilai harganya. Telah digunakan sejak kita semua keluar dari rahim ibu lagi. Kita sudah pandai “menangis” sambil menjerit, menjadikan ibu dan ayah akan juga menangis kegembiraan apabila mendengar suara kita. Kita juga boleh berkata-kata untuk meminta sesuatu apabila dalam alam kanak-kanak. Dan apabila dewasa suara menjadi aset penting dalam kehidupan untuk mencari nafkah.
Getaran daripada suara boleh memberikan gambaran maklumat yang ingin disampaikan. Kita boleh mengenali suara seseorang jika dia sedang marah / merajuk / tegas / manja / memberi arahan / takut dan pelbagai lagi. Oleh yang demikian apabila bercakap dalam konteks keusahawanan, kita perlu menggunakan intonasi suara yang baik apabila berurusan dengan pelanggan. Perlu mengeluarkan suara yang lembut dengan pelanggan, sentiasa bercakap dengan yakin dalam menyampaikan maklumat produk dan sentiasa menunjukkan dalam keadaan sedia untuk mematuhi kehendak pelanggan.
Sementara itu pula, bila dalam organisasi perniagaan dan anda adalah pemilik perniagaan, sesungguhnya anda perlu mengawal suara apabila berada dalam situasi tertentu ketika menjalankan operasi perniagaan. Bersuara dengan tegas jika ada pekerja melakukan kesalahan, bergelak ketawa untuk menghidupkan mood yang ceria, memberikan suara motivasi untuk menaikkan semangat pekerja dan memberikan nasihat dengan suara yang lembut.
Suara percakapan kita walaupun didengari setiap masa, ia adalah gelombang yang luar biasa dalam hidup tanpa kita sedari. Bercakap dengan intonasi yang sesuai dengan tempat dan keadaan. Gunakan untuk kebaikan jangan salah gunakan untuk mendapatkan keuntungan peribadi.
Posted by
ferouxe on Friday 14 November 2008
Bukan sahaja pengiklanan adalah pelaburan, menuntut ilmu juga adalah pelaburan jangka panjang yang seharusnya kita perlu ambil berat untuk menjadi usahawan yang berjaya. Dalam usaha untuk menyediakan minda usahawan yang berjaya, sebelum membuka pintu perniagaan dan ketika membuka perniagaan kita tidak boleh lari daripada belajar, belajar dan terus belajar.
Dalam konteks pembelajaran yang diperkatakan ini, bukan bermaksud belajar dalam kelas seperti di sekolah atau pusat pengajian tinggi. Setiap kali kita lakukan kesilapan anggapkan sebagai satu pelajaran, setiap kali menemui idea baru anggapkan juga sebagai ilmu baru, membaca di internet / akhbar /buku /majalah malah berbual dengan rakan boleh dijadikan pelajaran jika kita pandai mengambil yang baik.
Kursus ataupun seminar jangka pendek perlu kita hadiri. Sekurang-kurangnya dalam setahun peruntukkan 2-3 hari untuk mengambil kursus bagaimana mempertingkatkan kemahiran dalam diri kita. Jangan anggapkan bayaran kursus RM1000 hingga jumlah manapun sebagai pembaziran. Banyak yang anda boleh manfaatkan daripada kurusu ini Ada juga kursus yang menawarkan harga yang berpatutan dan maklumat boleh kita dapati di internet ataupun akhbar harian.
Setelah kita membuat pelaburan sedemikian, inshaallah hasilnya akan datang sediri kepada diri kita. Praktikkan ilmu yang kita pelajari dan jangan lokek dengan ilmu yang ada, kerana jika kita selalu menyampaikan ilmu walaupun sedikit kepada rakan lain kehidupan akan bertambah berkat dan banyak ilmu akan datang kepada diri kita. Ilmu tidak bernilai harganya, oleh yang demikian carilah ilmu sebanyak mungkin ketika hayat di kandung badan.