Posted by
ferouxe on Friday 31 October 2008
Bagi yang ingin menceburi kerjaya dalam bidang keusahawanan IT, anda bukan sahaja perlu minat dalam bidang IT. Manakala yang berminat dalam bidang pertanian, anda bukan sahaja perlu pakar dalam ilmu pertanian / ternakan. Dan sama juga jika anda ingin menceburi bidang keusahawanan takaful, anda bukan sahaja perlu mempelajari ilmu berkaitan produk takaful.
Langkah pertama yang perlu anda ambil berat adalah meminati kerjaya yang anda lakukan setiap hari. Ya, perniagaan adalah perkara yang pertama kali anda perlu minat. Apabila melakukan aktiviti perniagaan tidak kira online / offline, kita perlu melakukan urusniaga dengan pelbagai orang dan ragam setiap hari. Walaupun apa bidang yang dipelajari sekalipun, jika masih tidak berminat dalam bidang perniagaan, kita tidak dapat bertahan sebagai usahawan.
Selain daripada itu juga, apabila kita telah sampai kepada meminati kerjaya ini, kita tidak akan merasakan penat ataupun putus asa dengan cabaran. Malahan kita akan lebih bersemangat untuk melakukan perkara yang baru dan mencabar. Ramai usahawan yang kita rujuk tidak kira dimana mereka berada menjadikan perniagaan sebagai cara hidup hingga akhir hayat mereka.
Posted by
ferouxe on Thursday 30 October 2008
Apa yang terlintas di fikiran ketika ingin memulakan perniagaan adalah modal permulaan dan jenis perniagaan apa yang akan dilakukan. Bagi yang tiada langsung mempunyai pengalaman ataupun sedang makan gaji janganlah memikirkan modal adalah batu halangan besar untuk menggerakkan perniagaan anda. Kadang-kadang perancangan telah dibuat tetapi disebabkan modal yang tidak mencukupi perancangan perniagaan tinggal menjadi kenangan.
Manakala ramai individu menghadiri kursus-kursus tertentu yang menjuruskan perniagaan mereka. Mereka berminat dengan dunia IT menghadiri kurus bagaimana membuat laman web, bagi yang berminat dengan pertanian mereka menyertai kursus anjuran Jabatan Pertanian ataupun MARDI ataupun yang ingin menjadi usahawan takaful mendaftarkan diri untuk peperikasaan PCE. Bab-bab berkaitan teknikal menyumbangkan 10% kepada kejayaan usahawan. Faktor utama yang menyumbangkan kepada kejayaan adalah sikap yang ada dalam minda usahawan itu.
Persiapan utama disebalik memikirkan perkara modal dan jenis perniagaan adalah menanamkan minda untuk menjadi usahawan cemerlang. Pelbagai tips yang akan dikongsi dengan pembaca apakah persiapan minda yang perlu kita tanamkan sebelum menjadi usahawan. Sesuai bagi adik-adik yang sedang belajar ataupun rakan-rakan yang ingin mencuba untuk menjadi usahawan, minda usahawan cemerlang adalah lebih mahal harganya daripada modal permulaan perniagaan anda. Malahan ini adalah sebenarnya modal yang anda perlu simpan sebelum membuka perniagaan.
Posted by
ferouxe on Wednesday 29 October 2008
Perniagaan kita tidak akan maju jika tidak ramai pelanggan mahu menggunakan produk / perkhidmatan syarikat kita. Untuk menarik ramai pelanggan datang membeli produk kepunyaan syarikat, usahawan seharusnya memperuntukkan sejumlah wang untuk mengiklankan produk kita. Dalam membentuk minda usahawan yang berjaya, kita seharusnya meletakkan kos untuk bayaran pengiklanan adalah pelaburan jangkamasa panjang untuk kebaikan syarikat.
Ada juga syarikat memperuntukkan beberapa peratusan daripada keuntungan dalam masa setahun untuk dilaburkan semula khasnya dalam bentuk pengiklanan. Ini akan menjamin jenama syarikat dan produk mereka sentiasa berdaya saing dalam pasaran. Ada berbagai cara memperkenalkan syarikat dan produk anda di pasaran dalam bentuk pengiklanan. Kita sendiri boleh melihat disekeliling pelbagai iklan tidak kira papan tanda di tepi jalan, televisyen, radio, internet, akhbar harian dan risalah-risalah yang diedarkan.
Mulakan mengiklanan produk kepunyaan syarikat anda dengan konsisten dan tingkatkan peruntukan perbelanjaan pengiklanan kerana ini adalah sebahagian nadi perniagaan anda. Letakkan didalam minda usahawan anda bahawa kos pengiklanan adalah pelaburan yang akan memberikan pulangan kepada diri kita pada masa akan datang.
Posted by
ferouxe on Tuesday 28 October 2008
“Berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian” Ini adalah peribahasa yang sentiasa berkumandang ditelinga ketika kita dalam zaman pembelajaran di sekolah mahupun di universiti. Peribahasa ini mirip maksudnya dengan peribahasa yang dipetik daripada buku Bahasa Inggeris yang berbunyi “Hidup akan susah jika suka melakukan perkara senang, tetapi hidup akan senang jika suka melakukan perkara susah”
Olahan ayat yang berlainan tetapi memberi maksud yang sama. Kita sebagai usahawan perlu membiasakan diri melakukan / menghadapi kesusahan dalam menempuh jalan untuk kejayaan. Apakah perkara yang susah? Bagi orang yang tidak pernah menjual produk adalah perkara susah untuk menjual untuk pertama kali. Dalam keadaan ini mahu tidak mahu dia perlu melakukannya. Manakala orang yang sudah biasa menjual kepada seorang pada setiap hari, dia pula perlu menjual kepada 2 orang pada setiap hari.
Melakukan perkara yang susah boleh diertikan dengan melakukan perkara yang kita tidak biasa buat sebelum ini. Melalui habit ini dengan tidak secara langsung produktiviti kita akan meningkat dan kita dapat lari daripada zon kesenangan yang selalu melalaikan kehidupan seorang usahawan. Mulai hari ini cuba buat perkara baru dalam hidup, jika biasa dengan jalan A untuk ke pejabat, cuba pula jalan B / C / D. Mungkin anda akan dapat ilmu baru melalui pengalaman ini. Jangan takut dengan kegagalan.
Posted by
ferouxe on Wednesday 22 October 2008
Apakah yang corak pemikiran yang patut dimiliki oleh seorang jutawan, bagaimana pemikiran seorang yang miskin menghalang dia daripada menjadi jutawan. Adakah anda tahu dengan berfikir sebagai seorang yang kaya kita sedang menghampiri cita-cita itu..? Kita mungkin tidak perasan setiap kali keputusan dalam hidup, ia diambil daripada fail-fail yang tersimpan didalam otak seperti menyimpan file dalam folder komputer anda??
Buku bertajuk “Secrets of the millionaire mind” tulisan T Harv Eker adalah pilihan bacaan penulis, dan idea pemikiran beliau sedikit sebanyak wujud dalam dunia realiti masa kini. Antara yang kita mungkin tidak perasan bagaimana orang yang gagal sentiasa memikirkan masalah hinggakan masalah lebih besar daripada diri dia. Ini menyebabkan hidupnya tidak akan maju kerana masalah sentiasa menghalang dirinya untuk maju.
Berbanding dengan orang yang berjaya dalam keusahawanan, memikirkan masalah adalah sebahagian daripada proses untuk berjaya, mereka hanya menumpukan peluang yang memberikan mereka jalan untuk lebih berjaya. Setiap hari setiap masa mereka akan mencari perluang bagaimana mereka boleh membawa diri mereka ketahap yang lebih maju. Isikan file minda anda dengan file minda seorang yang berjaya.
Posted by
ferouxe on Tuesday 21 October 2008
Tidak beberapa lama dahulu akhbar di Malaysia pernah melaporkan bahawa sejumlah RM40 billion nilaian harta pusaka yang tidak dituntut atas pelbagai sebab yang banyaknya disebabkan tiada perancangan pewarisan harta. Atas sebab-sebab itu kerajaan Malaysia telah mengeluarkan beberapa prosidur berkaitan pewarisan (melalui Amanah Raya dan pejabat tanah ) bagi nilaian harta pusaka tidak kurang RM600 ribu bagi mengelakkan masalah muncul kelak.
Kita bekerja keras siang dan malam sebagai usahawan mengumpul harta untuk diri dan keluarga tetapi kita selalu terlepas pandang bila mempersoalkan bab-bab wasiat kerana masyarakat kita selalu sensitif bila menyebut kematian. Lebih kurang 50% pencarum KWSP tidak menukar penama kerana kebanyakan meletakkan ibubapa sebagai penama ketika memulakan kerja dahulu, dan tentunya akan menghadapi masalah jika ketika membuat tuntutan jika pencarum sudah meninggal dan ibubapa sudah tiada ketika itu.
Agak melucukan melalui pengalaman penulis yang juga sebagai perunding takaful, apabila suami ingin mengambil pelan takaful selalu meletakkan isteri sebagai penama, tetapi apabila isteri mengambil pelan takaful . . . mereka akan meletakkan nama ibubapa mereka. Berbagai-bagai alasan yang diberikan (walaupun dengan emosi sekalipun) jika ibubapa sudah tiada ketika proses tuntutan, kerja menuntut harta pusaka bertambah sukar.
Apabila menghadiri majlis pengebumian waris akan bersedih mengenangkan simati yang pernah bersama ketika dahulu, tetapi selepas 4-6 tahun mereka mungkin akan kecewa dengan simati (walaupun sukar dilafazkan kepada orang ramai) kerana proses tuntutan harta tanpa wasiat mengambil masa yang terlalu lama, lebih-lebih lagi jika harta pusaka yang terlalu banyak. Dapatkan nasihat berkenaan pewarisan daripada pihak yang arif tentang wasiat semoga tiada permasalahan berkaitan tuntutan harta jika tiada dimuka bumi kelak.
Posted by
ferouxe on Monday 20 October 2008
Menjual adalah skil utama yang anda perlu mahir untuk menjadi usahawan yang berjaya. Pada hakikatnya kerjaya sebagai jurujual menjanjikan pendapatan yang lumayan walaupun tanggapan negatif masyarakat umum melihat jurujual seperti seorang peminta sedekah. Kita harus melihat bahawa kerjaya ini adalah jantung dalam sesebuah perniagaan. Tanpa aktiviti jualan perniagaan tidak dapat berkembang maju.
Berbagai-bagai gimik yang dilakukan untuk menarik perhatian pembeli jika anda ingin membuat jualan. Kadang-kadang produk anda adalah sama seperti kebanyakan dalam pasaran, tetapi pelanggan belum mencuba produk anda dan mereka tidak mengetahui kelebihan produk anda dengan lebih mendalam. Dalam menghadapi menghadapi situasi begini anda perlu kreatif untuk menarik bakal pelanggan anda.
Mengunakan personaliti terkenal seperti artis, ahli sukan malah ustaz dan ustazah pun sekarang telah menjadi jurucakap produk untuk sesuatu syarikat. Golongan ini mempunyai pengikut tersendiri dan secara tidak langsung penyampaian maklumat berkenaan sesuatu produk dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan lagi kepada pengguna.
Menggunakan nama tertentu yang lain daripada kebiasaan pada produk anda akan menyebabkan bakal pelanggan akan tertanya-tanya keistimewaan produk anda walaupun papan iklan produk anda dilihat daripada jauh lagi. Nama-nama yang mudah dihafal oleh pengguna akan melekat dalam pemikiran mereka dan dengan cara ini mereka dapat mempromosikannya dari mulut ke mulut.
Posted by
ferouxe on Friday 17 October 2008
Musim kegawatan ekonomi sedang melanda negara-negara Amerika dan benua Eropah, tempiasnya mungkin akan mengena negara kita. Singapura adalah negara awal yang menerima kesan ini kerana ekonomi mereka banyak bergantung daripada ekonomi rantau Amerika dan Eropah. Dan di waktu ini kita mendengar daripada pakar pelaburan hartanah adalah bagus untuk memulakan pelaburan hartanah kerana banyak harga hartanah akan jatuh daripada harga pasaran. Tentu ada yang berkata …
- “Saudara Irfan Khairi bolehlah invest sekarang..dia tahap jutawan, 2 bulan income dia sahaja dah boleh beli condo mewah di KL dengan CASH…saya pun teringin beli hartanah tapi income sebulan RM1800 camnooo”
- “Saudara Azizi Ali boleh lah beli, dia pilot…sebulan gaji dia dah boleh buat downpayment beli property RM300k, gaji dia besar takde masalah nak apply loan..saya pun teringin beli hartanah tapi gaji sebulan RM1800 boleh lepas ke loan, hutang sana sini..”
- “Saudara penulis binausahawan.com boleh lah beli, dah 6 tahun dalam bisnes, saving dan income pun dah banyak…saya pun teringin beli hartanah tapi kekurangan itu dan ini..”
Salah satu cara untuk ingin merebut peluang ini adalah dengan cara pembelian hartanah secara berjamaah. Anda boleh membuat pembelian hartanah atas nama bersama, lebih selamat dengan kelompok adik beradik ataupun keluarga (Ibu + bapa + anak). Ini secara tidak langsung merapatkan ikatan kekeluargaan disamping boleh dijadikan pelaburan keluarga. Cara ini banyak diaplikasikan oleh kaum cina dinegara kita ketika hendak menambahkan koleksi hartanah mereka.
Pastikan perjanjian dan beberapa isu perlu diterangkan sesama ahli supaya mengelakkan perselisihan faham selepas pembelian kelak. Walaupun keuntungan adalah sedikit tetapi melalui cara ini anda boleh merasai bagaimana untuk menguruskan pelaburan hartanah apabila ingin membeli untuk koleksi peribadi kelak.
Sewa kondo disekitar KLCC adalah RM10,000….emmmmm
Posted by
ferouxe on Thursday 16 October 2008
Pembongkaran aktiviti skim cepat kaya melalui internet yang mendapat liputan meluas tahun lepas belum lagi dapat menyedarkan rakyat Malaysia. Minggu ini 4 buah syarikat yang telah dikenakan tindakan oleh Bank Negara Malaysia kerana mengutip wang daripada orang ramai tanpa lesen.
Keinginan untuk kaya adalah cita-cita yang bagus, tetapi bagaimana hendak merealisasikannya adalah persoalan yang perlu kita fikirkan. Masih lagi ramai dikalangan kita yang inginkan untuk menjadi kaya dengan cara mudah tanpa berusaha dengan gigih. Meletakkan sejumlah wang yang besar dengan mengharapkan pulangan yang berlipat kali ganda tanpa bersusah-payah siang dan malam.
Modus operandi yang menggunakan nama tokoh tertentu dan orang kenamaan terlibat dalam skim ini akan menyebabkan golongan pendapatan rendah turut sama untuk terlibat dalam skim ini. Ada yang sanggup menggunakan simpanan ketika bekerja dan ada yang sanggup menggadaikan harta yang ada. Hindarkan mentaliti untuk menjadi kaya dengan cara yang senang.
Anda yang belum terlibat dalam bidang keusahawanan perlu mengetahui bahawa jalan untuk berjaya dalam bidang keusahawanan penuh dengan liku-liku, halangan dan cabaran. Kita perlu sabar dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat lelah. Kejayaan tidak akan tercapai jika anda sanggup menghadapi cabaran sedemikian.
Posted by
ferouxe on Monday 13 October 2008
Membaca blog berbentuk motivasi telah menjadi trend yang sihat dikalangan masyarakat kita. Jika dilihat statistik, terdapat peningkatan dari segi jumlah pelawat semenjak blog binausahawan.com mula-mula dilancarkan 12 bulan yang lalu. Kami sangat berterima kasih kepada pelawat yang menghantar email dan sms memberi sokongan kepada blog ini.
Selain daripada berkongsi bagaimana menguruskan perniagaan, binausahawan.com juga berkongsi motivasi keusahawanan yang akan memberi caj kepada bateri perniagaan anda. Maklumat motivasi keusahawanan ini dipetik daripada berbagai sumber seperti akhbar harian, blog motivasi, bacaan buku dan juga daripada kisah benar melalui pengalaman penulis sebagai trainer usahawan takaful.
Kepada usahawan takaful, bakal usahawan takaful ataupun usahawan/bakal usahawan daripada bidang apa sekalipun, harap dapat jadikan blog ini sebagai platform untuk bertukar-tukar fikiran dan memajukan kerja kita. Proses pembelajaran tidak terhad sahaja di menara gading malah kerjaya sebagai usahawan adalah tempat kita belajar dalam dunia yang realiti. Tiada yang mustahil.