Posted by
ferouxe on Tuesday 29 July 2008
Semua usahawan ingin maju dalam perniagaan yang diceburinya. Walaupun dia belum bergelar usahawan sekalipun saya yakin apa yang diingininya ialah supaya perniagaan mereka akan maju. Bagaimana kita ingin mengukur kemajuan perniagaan kita?
Antara cara mudah bagi mengukur kemajuan perniagaan ialah dalam bentuk peratusan. Sebagai contoh keuntungan bersih perniagaan pada tahun 2006 ialah RM50,000 manakala tahun lepas ialah RM55,000. Ini menunjukkan perniagaan anda bertambah maju sebanyak 10%.
Sentiasa pastikan perniagaan anda maju tahun demi tahun. Sekiranya tiada peningkatan atau tidak dapat mempertahankan kemajuan perniagaan ataupun keuntungan sama sahaja sebelum tahun sebelumnya seolah-olah anda seperti makan gaji.
Posted by
ferouxe on Monday 28 July 2008
Dalam menggerakkan syarikat, anda tidak boleh membuat semua operasi perniagaan dalam waktu yang sama dengan andaian bahawa jika anda membolot semua operasi bermakna anda layak membolot kesemua hasil. Sebagai contoh jika anda seorang pengusaha chalet, anda tidak boleh membuat semua aktiviti perniagaan dalam satu masa. Kita tidak boleh membuat pemasaran dan disamping itu juga menguruskan pelanggan yang datang, menjaga keselamatan chalet, membaiki chalet yang rosak, memasak makanan untuk tetamu dan kerja-kerja pembersihan chalet.
Untuk melakukan kesemua operasi itu kita memerlukan pekerja yang akan membantu melancarkan operasi perniagaan. Pekerja-pekerja ini seharusnya diberikan satu sistem kerja yang disusun semoga perjalanan perniagaan berjalan lancar. Pada waktu yang sama pengusaha dan pekerja perlu berbincang antara satu sama lain bagaimana memperbaiki sistem kerja yang ada kepada yang lebih baik. Usahawan itu perlu memastikan kesemua pekerja mematuhi standard sistem kerja yang telah disediakan.
Penyampaian maklumat antara semua pekerja perlu disusun. Ini adalah kerana setiap pekerja mempunyai tanggungjawab yang berlainan. Sebagai contoh pegawai yang ditugaskan mengambil tempahan chalet, dia perlu menyampaikan maklumat tempahan kepada semua pekerja yang berkaitan. Secara tidak langsung pekerja lain seperti tukang masak, penyambut tetamu, juruteknik dan pengawal keselamatan tahu bahawa pada tarikh tertentu seramai beberapa bilangan tetamu akan hadir dan mereka boleh membuat persediaan yang diperlukan.
Posted by
ferouxe on Thursday 24 July 2008
Bagi seorang usahawan ada ketikanya kita akan menerima panggilan daripada bakal pelanggan yang ingin membuat belian. Ada satu kisah rakan saya telah mendapat satu risalah dan beliau berminat dengan produk yang ditawarkan. Lalu beliau menelefon no yang terdapat dalam risalah itu untuk membuat pertanyaan dan kebarangkalian tinggi untuk membuat belian.
Apa yang dijawab oleh usahawan itu :
“Maaf Encik, saya tengah makan, boleh call no yang satu lagi…”
Dijadikan cerita apabila dihubungi rakaniaga beliau, apa yang dijawabnya
“Maaf Encik saya sedang sibuk, boleh call saya balik“
Ini adalah sikap cara percakapan yang seharusnya kita jauhi dan ubah serta merta sekiranya anda ingin menjadi usahawan yang berjaya. Memang diakui di pusat pengajian tinggi kita tidak diajar untuk menjawab panggilan bakal pelanggan. Binausahawan.com bertanggungjawab untuk berkongsi tips sikap seorang usahawan yang berjaya mengikut praktikal yang berlaku dalam alam realiti perniagaan.
Menjawab panggilan bakal pelanggan adalah rezeki yang tidak disangka. Jawab dengan tenang, suara yang lembut walaupun kita sedang menyuap nasi. Bersikap professional dalam menjawab panggilan. Jangan campuradukan perasaan kita dalam urusniaga. Pelanggan tidak mahu mendengar rintihan masalah anda, yang pelanggan mahu adalah produk yang ditawarkan. Antara jawapan yang dicadangkan agar bakal pelanggan akan rasa selesa untuk berusniaga semasa membuat panggilan ialah :
“Maaf Encik saya dalam meeting, boleh saya dapatkan nama dan no tel Encik, saya akan hubungi Encik selepas meeting kelak“
Posted by
ferouxe on Wednesday 23 July 2008
Golongan remaja adalah pelapis negara pada masa hadapan. Jika golongan ini musnah maka masa depan negara turut akan musnah. Negara turut akan terbeban sekiranya mempunyai banyak sampah masyarakat. Tetapi jika golongan ini telah bersedia dengan kekuatan ilmu yang mantap, maka tidak mustahil negara menuju ke arah maju.
Bukan tugas mudah mendidik remaja, kerana golongan ini mudah terdedah dengan anasir yang kurang baik. Memang perkara yang negatif mudah melekat kepada diri seseorang remaja berbanding perkara yang positif. Oleh yang demikian tugas membimbing remaja bukan atas golongan tertentu, kita semua wajib mendidik mereka untuk menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.
Banyak aspek yang perlu didedahkan (walaupun bukan dengan didikan formal di sekolah) kepada golongan remaja secara berhikmah. Ilmu pengetahuan lain seperti keagamaan, sopan santun, menjaga kebersihan, cara hidup dalam masyarakat, memelihara alam sekitar dan pelbagai lagi seharusnya di terjemahkan kepada golongan remaja dengan cara yang kreatif untuk menimbulkan kesedaran bahawa untuk menjadi negara maju, warganegara itu sendiri perlu berfikiran sebagai orang negara maju.
Berbalik kepada topik keusahawanan pula, remaja perlu didedah sejak awal lagi dengan corak kehidupan sebagai seorang usahawan. Bagi golongan remaja yang datang dari keluarga usahawan mereka sudah biasa dengan kehidupan sebagai usahawan sejak kecil lagi apabila melihat kedua-dua ibubapa mereka bekerja. Bagaimana pula dengan keluarga yang miskin yang sukar mendapatkan pendidikan apatah lagi belum tentu untuk mengenal laman web binausahawan, menjadi tanggungjawab kita semua untuk membimbing mereka. Tiada yang mustahil.
Posted by
ferouxe on Monday 21 July 2008
Antara langkah yang dicadangkan untuk menyemai budaya keusahawanan khasnya kepada remaja daripada golongan keluarga yang makan gaji ialah dengan mendidik dengan cara tidak formal. Pendidikan ilmu-ilmu berkaitan keusahawanan bukan sahaja terhad di sekolah, ia boleh dilakukan dimana-mana; di kedai makan, kedai buku, pasar malam, taman permainan, bank, lapangan terbang, tempat-tempat awam, padang sukan malah di panggung wayang!
Apabila kita berkesempatan bersama remaja dalam suasana mood yang baik, kita ceritakan berbagai cerita berkaitan usahawan apabila melalui situasi tertentu. Sebagai contoh, “Makcik yang menjual goreng pisang itu sudah lama menjalankan perniagaan sejak abang kecil lagi, dahulu dia ada 1 gerai dan sekarang sudah ada 3 gerai yang dijaga oleh keluarganya, cuba kira berapa jualannya sehari jika dia boleh menjual…….”
Bercakap sahaja dengan memberi idea-idea bernas tidak cukup. Kita perlu menunjukkan warga-warga usahawan yang ada dihadapan kita secara langsung supaya remaja itu dapat melihat bagaimanan hidup seorang usahawan dengan mata kasar mereka sendiri. Ada teori mengatakan bahawa kita banyak belajar dengan melihat menggunakan mata kita sendiri daripada mendengar. Oleh yang demikian apabila seseorang itu melihat imej usahawan, ia akan memberikan kesan impak yang besar daripada bercerita berkenaan usahawan.
Posted by
ferouxe on Thursday 17 July 2008
Jika anda bukan remaja, anda mungkin mempunyai adik yang berumur remaja, ataupun anda mempunyai anak-anak yang berusia remaja ataupun anda adalah guru yang mengajar budak-budak remaja ataupun setidak-tidaknya anda mempunyai jiran yang tersiri daripada golongan remaja. Kita dikelilingi oleh kelompok remaja.
Remaja adalah pelapis untuk menjaga kekuatan negara pada masa hadapan dan seharusnya kita memimpin mereka dengan memberi panduan dan petunjuk agar golongan ini tidak terpesong daripada landasan sebenar. Remaja yang berkualiti adalah aset negara dan remaja yang tidak berkualiti akan meruntuhkan negara.
Memberi didikan dalam mempopularkan keusahawanan perlu dengan cara hikmah dan selaras dengan corak pemikiran seorang remaja. Ceritakan kepada mereka bagaimana kehebatan menjadi usahawan dan yang paling utama bagaimanakah mulianya sumbangan tokoh keusahawanan dalam membantu menggerakkan ekonomi negara.
Memberi mereka peluang memberi idea dalam memperbaiki mutu perniagaan adalah digalakkan. Walaupun mereka tidak mempunyai perniagaan pada masa kini, setidak-tidaknya idea mereka akan menimbulkan keyakinan dalam menjalankan perniagaan kelak. Jangan membangkang terus segala pendapat mereka. Pada mata kasar, remaja masih kurang berpengalaman, tetapi apabila kita terus membangkang segala kata-kata mereka sifat merajuk / kecil hati akan menguasai mereka dan dunia keusahawanan akan menjadi kecil dari mata hati mereka.
Posted by
ferouxe on Tuesday 15 July 2008
Alam remaja adalah satu tempoh masa yang menghubungkan antara zaman kanak-kanak dan usia dewasa. Diwaktu ini seseorang remaja akan mula melihat dunia seluas-luasnya. Perkembangan hidupnya banyak dipengaruhi oleh persekitaran kehidupannya.
Diwaktu inilah mereka mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang menarik naluri pemikiran mereka yang boleh dikatakan separa kanak-kanak dan separa dewasa. Ada yang berminat dengan alam percintaan yang cukup mereka membuat terawang-awang, ada yang berminat dengan alam kedewasaan walaupun pengalaman mereka belum layak menjadikan diri mereka dewasa, ataupun membuat aktiviti-aktiviti lasak, tumpuan kepada pelajaraan dan membuat hobi yang tersendiri.
Mengenalkan dunia keusahawanan kepada anak seorang usahawan adalah mudah sedikit berbanding dengan mengenalkan kepada anak keluarga yang makan gaji. Anak seorang usahawan telah melihat bagaimana hidup seorang usahawan kerana ibubapanya berada sentiasa di hadapan matanya. Secara tidak langsung darah keusahawanan akan mengalir ke diri mereka.
Bagaimana pula dengan anak-anak remaja yang miskin, bagaimana kita boleh terapkan budaya usahawan kepada mereka???
Posted by
ferouxe on Monday 14 July 2008
Salam kepada semua pembaca binausahawan.com,
Selamat memulakan hari yang baru dalam minggu yang baru yang sangat dinanti bagi seorang usahawan. Anda pasti teruja melihat jalan-jalan di Lembah Kelang hari ini sesak, jangan mengeluh jika anda mengambil masa 3 jam untuk ke pejabat hari ini. Sentiasa POSITIF!!! hahahahaha
Penulis adalah batch pertama yang mengambil peperiksaan UPSR 20 tahun yang lalu, satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana tiada buku rujukan, nota-nota internet ataupun soalan-soalan ramalan yang membantu kami kerana ini adalah harga yang perlu dibayar sebagai perintis peperiksaan mengikut silibus KBSR.
Namun hari ini bukan lagi seperti dahulu, banyak alat bantuan pembelajaran telah dihidangkan tidak kira yang berbayar, bersubsidi atau PERCUMA. Ini bukanlah isu yang ingin dibincangkan kali ini.
Silibus pelajaran yang harus pelajar belajar bertambah tahun demi tahun menyebabkan pelajar perlu belajar berbagai-bagai perkara seoalah-olah dia belajar diuniversiti. Belum ditambah lagi beberapa isu yang dibincangkan diparlimen yang seringkali diakhiri dengan perkataan “harus dijadikan matapelajaran sekolah“
Untuk melahirkan golongan usahawan sejak mereka kanak-kanak ialah dengan mendedahkan beberapa skill keusahawanan bukan dengan subjek hafalan untuk peperiksaan dan akan lupa dari ingatan apabila keluar dari bilik peperiksaan.
Pelajar harus didedahkan dengan kemahiran bercakap, menguruskan masa, melaksanakan tugas mengikut masa, mematuhi pemimpin, memberi peluang menjadi pemimpin dalam kumpulan kecil, memberi mereka cabaran dan melihat bagaimana mereka dapat menangani cabaran dan beberapa aktiviti lain yang menggabungkan kekuatan fizikal dan mental termasuk nilai-nilai murni islam dalam urusniaga.
Ceramah ceramah keusahawanan ataupun forum sedemikian tidak akan dapat melahirkan kumpulan usahawan kerana golongan usahawan yang berjaya bertindak terus selepas apa yang dirancang. Mereka tidak suka asyik bercakap, berhujah atau berdebat dengan perkara yang mereka tidak buat.
Posted by
ferouxe on Friday 11 July 2008
Menjadi perunding takaful memang suatu kerjaya yang menarik, Apatah lagi jika ini kerjaya sepenuh masa anda dan periuk nasi anda bergantung dengan kerjaya ini. Sungguh menakjubkan jika setiap pagi sebelum keluar memulakan kerja “prospecting” (proses mencari pelanggan), diri anda sendiri tidak tahu siapa yang akan mengambil pelan daripada anda.
Memang suatu kesyukuran jika kita telah keluar sejak pagi dan dapat seorang pelanggan pada waktu petangnya. Usaha yang gigih akan membuahkan hasil kerana kehidupan seorang perunding takaful bergantung dengan komisen yang akan dapat maksima 6 tahun. Belum dicampur bonus dan pelbagai lagi yang sukar diceritakan disini.
Apa akan jadi jika kita keluar sejak pagi hingga larut malam tetapi seorang pun tidak mengambil pelan dengan kita dan lebih malang tiada siapa yang ingin mendengar. Dia akan pulang dengan kehampaan manakan tidak berbuih-buih kita bercakap tiada satu pun hasil yang melekat.
Ada seorang pengurus agensi memberi pesan bahawa jika kita dapat close case maka bank didunia bertambah wang dan bank diakhirat bertambah “wangnya”. Ingat setiap perkara kebaikan yang kita keluarkan daripada mulut akan diberikan pahala. Oleh yang demikian jangan gusar jika kita tidak mendapat client dalam satu-satu hari itu, secara zahirnya tiada apa yang bertambah di bank dunia tetapi bank akhirat akan bertambah simpanannya.
Posted by
ferouxe on Thursday 10 July 2008
Adakah anda pernah dihampiri oleh seorang jurujual?, bagaimana jika jurujual itu adalah rakan baik anda ataupun adik beradik anda? Dan apa akan terjadi jika pada masa itu anda tidak memerlukan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan…
Berbanding masyarakat barat, masyarakat asia terutama orang melayu di Malaysia kadang-kadang masih mempunyai sifat-sifat takut atau segan dalam mengatakan TIDAK dalam jual beli. Mereka memberikan berbagai alasan untuk melengahkan proses jual beli menyebabkan jurujual itu tertanya-tanya adakah bakal pembeli ingin membeli produk mereka.
Jual beli dan perasaan tidak boleh dicampur adukkan sehingga takut putus saudara hanya kerana tidak membeli produk mereka. Apabila mengatakan tidak bukanlah bermaksud mereka membenci jurujual. Tetapkan didalam hati bahawa mengatakan tidak hanya kerana barangan atau perkhidmatan mereka tidak diperlukan pada masa itu.