dapatkan sekarang ebook

Archive for December, 2007

Detik Kejayaan 2007 No : 1

Posted by ferouxe on Monday 31 December 2007

 

    Gambar-gambar yang dipaparkan dalam laman web ini sudah menceritakan apakah detik kejayaan rakyat Malaysia no 1 tahun 2007 ini. Dengan iringan doa, perasaan bangga serta kesedaran bahawa tiada yang mustahil yang tidak dapat dilakukan oleh rakyat Malaysia, angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor meluncur ke angkasa dengan kapal Angkasa Soyuz TMA-11 tepat pukul 7.21 malam waktu tempatan. Lebih 10 juta rakyat Malaysia terpaku di depan skrin televisyen menyaksikan detik bersejarah ini.  Ketika imej Sheikh Muszaphar yang berada dalam Soyuz yang dipacu roket selaju 26,000 kilometer sejam terpapar di skrin televisyen, rakyat Malaysia bersorak kegembiraan kerana perjalanan angkasawan itu dianggap simbol kehebatan baru bangsa.

 

Di ISS, Sheikh Muszaphar, seorang doktor bedah ortopedik yang berasal dari Negeri Sembilan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein yang juga menjadi tarikan beberapa universiti di negara lain yang ingin mengetahui hasil kajian ini. Berita penerokaan angkasa lepas oleh angkasawan kita telah mendapat liputan meluas di media Arab Saudi dan media Asia Barat umumnya. Rata-rata rakyat  Arab Saudi melahirkan rasa kagum dan syukur dengan kejayaan negara. Mereka kebanyakannya pernah melawat Malaysia, memahami budaya dan cara hidup rakyat Malaysia, amat menyanjung tinggi kejayaan ini.

 

Kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa beliau bersama 2 angkasawan lain selamat mendarat di Arkylk, Kazakhstan pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia) selepas melalui perjalann 3 jam 23 minit dari ISS. Detik kejayaan ini yang secara kebetulan negara kita genap 50 tahun merdeka menandakan Malaysia telah melangkah kehadapan dalam bidang sains angkasa. Banyak kejayaan demi kejayaan yang perlu kita capai dalam pelbagai bidang seharusnya digalas oleh semua rakyat Malaysia setelah selepas 50 tahun kita berjaya mendapatkan kejayaan menuntut kemerdekaan. Mari kita sama-sama berdoa agar tahun 2020 akan datang negara Malaysia setanding dengan negara maju yang lain. Tiada yang mustahil. Selamat Menyambut tahun 2008 dari kami krew binausahawan.com. 

Posted in Khas | Comment

Detik Kejayaan 2007 No : 2

Posted by ferouxe on Monday 31 December 2007

 

   Antara berita yang mendapat liputan hangat pada tahun 2007 ialah kisah nasib remaja Tee Hui Yee 14 tahun yang hidup dengan jantung mekanikal memerlukan derma jantung sungguh menyayat hati semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum. Berita ini telah lama disiarkan tetapi saat pada 9 Feb 2007 gambar tangisan adik Tee Hui Yee tidak dapat lagi menyembunyikan kesengsaraan yang sedang beliau hadapi.

         Disaat umat islam sedang sibuk menjalani ibadah puasa dan menanti saat ketibaan syawal, seramai 36 doktor pasukan perubatan Institut Jantung Negara (IJN) berjaya menjalankan dua pembedahan secara serentak selama 10 jam dan ini merupakan satu pencapaian bersejarah dalam dunia perubatan negara ini. Pembedahan marathon ini melibatkan Tee Hui Yee 14 dan seorang lelaki berusia 39 tahun yang memerlukan pemindahan paru-paru berganda. Lebih mendebarkan pembedahan jantung pertama adik Tee Hui Yee gagal dan terpaksa menjalani pembedahan untuk kali kedua.

Telah menjadi suratan muncul penderma kedua yang juga datang daripada luar Lembah Kelang dan jantung ini terpaksa dibawa dengan ehsan penerbangan TUDM dan saat mendebarkan ini seakan dalam filem suspen dalam dunia realiti. Banyak sebab kenapa binausahawan.com memilih detik ini kerana kita di negara berbilang kaum dan pegangan agama masih mempunyai sifat sayang-menyayangi antara satu sama lain.

Atas dasar perikemanusiaan ramai waris penderma anggota muncul dari pelbagai kaum, dan sebahagian besar staf IJN yang beragama Islam berpuasa dalam keadaan ala kadar dan mengetepikan soal persiapan Aidilfitri demi menjalankan tugas yang mulia ini. Syabas untuk anda semua keatas pengorbanan yang telah diberikan. Keharmonian dalam negara yang berbilang kaum ini patut kita pelihara moga negara kita aman dan damai.  Tidak lupa juga kepada adik Tee Hui Yee yang tabah menghadapi detik-detik mendebarkan semasa pembedahan dan gigih menjalani rawatan susulan.

Posted in Khas | Comment

Detik Kejayaan 2007 No : 3

Posted by ferouxe on Saturday 29 December 2007

                 Kehebatan hasil kerjasama pemilik Metrowealth Movies Productions (MMP)  David Teo dan pengarah muda yang sedang meningkat naik, Ahmad Idham menjadi sumber inspirasi binausahawan.com memilih kejayaan karya “Jangan Pandang Belakang” sebagai Detik Kejayaan 2007 no : 3 bagi carta tahun ini. Filem yang berkonsepkan cerita seram berjaya  menembusi pasaran tempatan dan luar negara seperti Singapura, Filipina, Brunei dan beberapa pengedar antarabangsa negara lain seperti Thailand, India, Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat telah menyatakan keinginan untuk memasarkan filem ini.

         Tiada alih bahasa dalam filem ini, bermakna filem ini dengan Bahasa Melayu dan sari kata Mandarin / Inggeris / Tagalog ditayangkan di negara luar.  Jumlah kutipan rasmi untuk tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei berjumlah RM7,267,592.37 adalah merupakan kutipan tertinggi dalam sejarah industri filem negara ini.

            Bukan filem ini sahaja yang menjadi pengajaran kepada kita, kisah bagaimana turun naik kerjaya David Teo perlu kita pelajari. Memulakan kerjaya dalam jualan langsung beliau beralih ke bidang penerbitan dan pada awal pembabitannya, banyak filem terbitan syarikat beliau tidak laku dipasaran. Tetapi beliau tidak berputus asa, usaha yang gigih dan pengajaran daripada kegagalan lalu membuahkan hasil. Filem seperti Cinta Kolesterol, Mr Cinderella, Mami Jarum, Nana Tanjung dan beberapa filem lain mendapat pengiktirafan filem box office. Pengajaran untuk kita semua :  kegagalan adalah perkara lumrah dalam kehidupan seorang usahawan. Sentiasa maju kehadapan dan “Jangan Pandang Belakang”   :-)  

Posted in Khas | Comment

Detik Kejayaan 2007 No : 4

Posted by ferouxe on Friday 28 December 2007

Public Bank kumpulan perbankan ketiga terbesar di Malaysia meraih keuntungan sebelum cukai berjumlah RM2.18 billion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2007. Public Bank dalam satu kenyataan berkata, keuntungan ini meningkat 24 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Prestasi kali ini disumbang oleh pertumbuhan tinggi perdapatan bersih faedah dan pendapatan bersih operasi perbankan islam. Selain itu, kerugian pinjaman yang rendah dan peningkatan perbelanjaan pemasaran serta promosi berjaya menambahkan pendapatan kumpulan.

Prestasi sungguh cemerlang yang ditunjukkan oleh syarikat ini melayakkan Public Bank menerima pelbagai anugerah dalam dan luar negeri. Antaranya, Bank Terbaik Malaysia yang dipilih oleh Alpha South East Asia, sebuah penerbitan pelaburan yang berpengkalan di Hong Kong.  Wajah pengasas Public Bank  Tan Sri Datuk Sri Dr. Teh Hong Piow sering kali terpapar dalam dada akhbar apabila tiap kali menerima pelbagai anugerah. Sejak tahun 2001, Public Bank telah menjana pulangan tahunan sebanyak 19.5%.  Public Bank mula beroperasi pada tahun 1966 di Jalan Gereja Kuala Lumpur di premis yang kecil dan kini berbangga dengan mempunyai menara tersergam indah betul-betul di hadapan Menara Berkembar Petronas.  

Posted in Khas | Comment

Detik Kejayaan 2007 No : 5

Posted by ferouxe on Friday 28 December 2007

       Lagi 5 hari lagi tahun 2008 akan menjelma. Ini bermakna baki 5 detik kejayaan lagi akan dipaparkan pada keluaran istimewa ini. Maklumat kepada pembaca, 10 detik kejayaan ini dipaparkan bertujuan untuk mengimbas kembali kejayaan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang dalam tahun 2007. Kejayaan ini bukan untuk mendabik dada, tetapi sebagai sumber motivasi kepada kita semua tidak kira apa bidang yang diceburi sekalipun.

      Pilihan ke 5 detik kejayaan 2007, binausahawan.com telah memilih kejayaan salah sebuah bank yang menjalankan operasi perbankan islam sepenuhnya iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).  Bank Rakyat untung RM626 juta, tertinggi dalam penubuhannya. Keuntungan bagi tahun kewangan 31 Disember lalu itu merupakan kenaikan sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelumnya. Serentak dengan itu, bank tersebut turut mengumumkan dividen 15% kepada lebih 750,000 ahli. Untung kepada sesiapa yang sempat memegang syer dalam bank koperasi ini… :-)

Posted in Khas | Comment

Detik Kejayaan 2007 No : 6

Posted by ferouxe on Wednesday 26 December 2007

      Ratu skuasy negara Nicol David dipilih sebagai Olahragawati Terbaik Asia 2007 dan terbaru dipilih sebagai Pemain Wanita Terbaik WISPA 2007 pada 22hb Disember yang lalu. Sepanjang tahun ini, Nicol sudah mengumpul lapan gelaran antaranya Terbuka Kuala Lumpur (Mac), Terbuka Kuwait (April), Klasik Qatar 2006(April), Terbuka Malaysia (Julai), Master Singapura (Ogos), Terbuka Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar 2007 serta Terbuka Hong Kong (November) Sepanjang tahun ini beliau mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 50 perlawanan.

Kejayaan yang telah dicapai oleh beliau bukan datang dengan mudah, pengorbanan masa dengan berlatih jauh dari negara ini seawal usia yang muda telah membuahkan hasil dimana kejayaan demi kejayaan telah dikumpulkan olehnya. Kita berharap tahun baru ini muncul ramai bakat muda yang akan menjadi pelapis untuk sukan skuasy pada masa akan datang.

Posted in Khas | Comment

Detik Kejayaan 2007 No : 7

Posted by ferouxe on Tuesday 25 December 2007

Kapal selam pertama negara, Scorpene secara rasmi dinamakan Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman bagi mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan juga Bapa Kemerdekaan. Kapal selam yang beharga RM1.3 billion menjadi penanda aras Malaysia telah melangkah kedepan dalam bidang pertahanan di rantau ini. Lebih membanggakan pihak Perancis berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pelatih TLDM dalam mengendalikan kapal selam ini. Pengendalian kapal selam amat kompleks sehingga negara seperti AS sendiri pernah membuat kesilapan. Nama Tunku Abdul Rahman dipilih daripada sebanyak 801 cadangan nama daripada lebih 300 rakyat Malaysia yang menyertai pertandingan menamakan nama kapal selam tersebut.

Posted in Khas | Comment

Detik Kejayaan 2007 No : 8

Posted by ferouxe on Monday 24 December 2007

Tan Sri Teh Hong Piow, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping dan Tan Sri Lim Kok Wing telah dipilih sebagai penerima Anugerah Personaliti pada Majlis Gala Anugerah The BrandLaureate 2006/2007. Yayasan Asia Pacific Brands merupakan penganjur anugerah ini. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif The BrandLaureate, Dr. K.K. Johan, ketiga-tiga merupakan ikon jenama dalam bidang masing-masing dan mereka membanggakan Malaysia dalam mempromosikan negara melalui organisasi yang mereka wakili.

Hong Piow merupakan Pengerusi Public Bank, Yeoh adalah Pengarah Urusan YTL Corporation Bhd, manakala Kok Wing pula personaliti perniagaan dan Presiden LimKokWing University College of Creative Technology. Ketiga-tiga adalah usahawan yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing dan seharusnya kita perlu mempelajari dan mengikuti gerak langkah mereka. Tiada yang mustahil

Posted in Khas | Comment

Detik Kejayaan 2007 No : 9

Posted by ferouxe on Monday 24 December 2007

                                                                

      Berkat kerjasama seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama, Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank mencecah RM1 juta. Tabung bantuan ini dilancarkan bagi membantu mangsa gempa bumi di Bengkulu, Sumatera pada 14 September yang lalu. Kita yang berada di negara yang aman makmur seharusnya sentiasa bersyukur dengan rahmat yang dikurniakan. Kejayaan mengutip sumbangan yang agak besar ini membuktikan kita rakyat Malaysia perihatin dengan kesengsaraan negara jiran itu. Mari kita sama-sama berdoa agar mangsa gempa bumi di Bengkulu itu dapat memulakan penghidupan yang sempurna kelak.

Posted in Khas | Comment

Detik Kejayaan 2007 No : 10

Posted by ferouxe on Monday 24 December 2007

Kaum wanita di negara ini sewajarnya diberi penghormatan kerana mereka telah menunjukkan kejayaan cemerlang yang pada sebelumnya telah dicapai oleh kaum adam. Untuk no 10 pilihan binausahawan.com telah memilih 3 wanita yang berjaya dalam bidang yang berlainan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sukan lasak dan kejohanan badminton.

  1.  Dr Roshidah Ishak, 49, mencatat sejarah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menjadi wanita pertama negara dilantik sebagai Jeneral satu bintang. Perlantikan yang dibuat pada awal 2007 itu, selepas 22 tahun pembentukan pasukan wanita dalam ATM. Isteri kepada Lt Kol Ahmad Zulkifle Mohd Zain ,49, dan dikurniakan empat orang anak.
  2. Enam daripada tujuh pendaki Merdeka de’ Everest 2007 termasuk seorang wanita berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di Puncak Everest setinggi 8848 meter bermula 6.15 pagi 21 hb Mei waktu tempatan. Pendaki wanita negara, Marina Ahmad, 26, menjejakkan kaki ke bumbung dunia itu tepat pukul 8 pagi sekaligus menjadi wanita pertama negara berjaya memijakkan kaki ke puncak Everest.
  3. Wong Mew Choo melakar sejarah muncul pemain badminton wanita pertama Malaysia menjuarai Terbuka China sejak kejohanan diperkenalkan 18 tahun lalu. Beliau menumbangkan pemain no satu dunia dan juara dunia 2 kali, Xie Xingfang 21-16, 8-21, 21-17 didepan peminatnya sendiri. Ketika memasuki gelanggang, beliau berbekal hanya muncul naib juara Terbuka Malaysia, sedangkan Xingfang adalah juara Seluruh England, Terbuka Perancis, Terbuka Macau, China Masters, Terbuka Jerman dan Terbuka Korea tahun ini. SYABASS!! 
Posted in Khas | Comment